Malaysiakini

Azizulhasni muncul jadi Raja Pecut Asia di Korea Selatan

Sukan  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang membuktikan dia berada dalam kelas tersendiri apabila muncul sebagai Raja Pecut Asia hari ini.

Dia meraih pingat emas acara pecut lelaki individu di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2020 yang berlangsung di Korea Selatan pada 17 hingga 21 Okt.

Dalam aksi penentuan pingat emas di Velodrom Pusat Latihan Kebangsaan Jingcheon tadi, pelumba berusia 31 tahun itu menewaskan pelumba Jepun Yuta Wakimoto 2-1.

The Pocket Rocketman yang tewas pada pusingan pertama, kembali bangkit memenangi pusingan kedua untuk mengheret perlumbaan kepada pusingan penentuan.

Sebaik loceng berbunyi, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu yang dikawal rapi oleh Wakimoto, melakukan kayuhan sekuat tenaga sekali gus meninggalkan pelumba Jepun di tempat kedua.

Terdahulu, Azizulhasni merekod masa 9.977 saat, iaitu keempat terpantas pada pusingan kelayakan.

Azizulhasni sebelum itu menyumbang pingat perak buat kem negara dalam acara keirin lelaki individu pada Jumaat.

Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, terlepas pingat gangsa apabila tewas 0-2 kepada pelumba Jepun Tomohiro Fukaya dalam aksi penentuan pingat gangsa.

Muhammad Shah Firdaus menduduki tempat keenam selepas merekod masa 10.159s.

Dalam kategori junior pula, Ahmad Safwan Ahmad Nazeri tewas 0-2 kepada pelumba India Rojit Singh Yanglem dalam aksi penentuan pingat gangsa.

Terdahulu, Ahmad Safwan meletakkan diri dalam kelompok lima terbaik selepas merekodkan masa 10.560s dalam pusingan kelayakan.

- Bernama