Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Moena - Dari Teluk Cempedak ke San Juan dengan hijab

Pertama kali mendengar nama Moena Rashid, kita akan tertanya-tanya siapakah susuk di sebalik nama yang seakan-akan watak utama filem animasi Disney, Moana yang terbit pada 2016.

Satu perkara yang mungkin kita dapat simpulkan adalah nama itu kedengaran seakan-akan sama dengan watak animasi Moana Waialaki yang menyelamatkan perkampungannya - di kepulauan Polynesia - daripada kuasa kegelapan.

Bagaikan kebetulan yang sangat unik, pemilik nama Mona Rasidah Abdul Rashid dari pantai Teluk Cempedak di pantai timur Malaysia ini juga mempunyai kisahnya yang tersendiri di lautan biru - walaupun bukanlah sebagai ketua suku kaum yang memimpin rakyat jelata dan mengembara bersama demigod Maui dalam menentang kejahatan.

Dia yang lebih dikenali sebagai Moena Rashid, 34, adalah seorang daripada lima peluncur ombak kebangsaan yang akan mewakili negara dalam temasya Sukan SEA ke-30 di Filipina akhir tahun ini.

Moena akan bertanding dalam kategori shortboard wanita bersama seorang lagi atlet negara, Nur Alia Erika Mohd Azmi. Mereka akan menunjukkan kemahiran masing-masing di San Juan, La Union, antara 2 hingga 8 Dis nanti.

Bukan saja bakal mencipta sejarah kerana menjadi kelompok pertama mewakili negara dalam sukan luncur ombak di temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu, Moena juga mencuri tumpuan kerana perwatakannya yang berhijab ketika beraksi.

Syukur ada banyak sokongan

Moena berkata pemakaian tudung atau berhijab ketika lasak melayan ombak tidak pernah menjadi masalah buatnya, malah pakaian itu membuatkan dirinya lebih selesa bersukan.

“Bagi saya begini lebih selesa, lagi confident, lagi selamat sebab apabila rambut dalam tudung, ia tidak mengganggu kita untuk bersukan.

“Kalau tidak kalau kita bergulung dalam ombak rambut akan terkeluar menutup mata, menutup hidung.

"Jadi dengan adanya tudungn semua akan selamat (daripada gangguan). Bagi saya tiada halangan,” katanya kepada Malaysiakini.

Moena turut memberitahu setakat ini hanya dia dan rakannya Vina Marwan (peluncur kategori downhill) saja yang mengenakan hijab ketika meluncur.

Dia juga mengakui belum pernah berjumpa dengan mana-mana atlet wanita yang berpakaian seperti mereka ketika melakukan aktiviti meluncur.

“Buat masa ini hanya saya dan Vina berhijab ketika surfing.

“Dan apabila pergi bertanding di luar negeri atau negara saya dapati memang saya seorang (saja) yang berhijab,” jelasnya.

Tambah Moena lagi, walaupun menceburi sukan yang bukan menjadi kebiasaan bagi wanita di negara ini, dia bersyukur kerana sentiasa mendapat sokongan tidak berbelah-bagi daripada keluarga dan komuniti peluncur di negara ini.

“Ibu-bapa memang beri sokongan sejak dari mula. Dari sebelum kahwin sehinggalah sekarang,” katanya yang sudah pun melangsungkan perkahwinan dengan Norafizal Abdul Rahaman pada 2013.

Selalu lepak tepi pantai

Selain bergiat aktif dalam aktiviti sukan luncur ombak, Moena juga sibuk membantu suaminya menjalankan perniagaan kedai kopi Koffeebilly yang terletak di bandar Kuantan.

Walaupun Norafizal bukanlah peluncur ombak seperti dirinya, namun Moena mengakui pasangannya itu sangat memahami minatnya terhadap sukan tersebut dan sentiasa menyokong apa yang dilakukannya selama ini sehingga berjaya mewakili negara di peringkat antarabangsa.

Selain keluarga dan suami, Moena juga memberitahu dia sentiasa mendapat sokongan kuat daripada warga Kuantan yang sentiasa memberikan kata-kata semangat buat dirinya sepanjang menceburi sukan itu.

Malahan dia yang mula menceburkan diri dalam sukan itu 10 tahun lalu juga berkata, faktor tempat tinggalnya di Kuantan - atau lebih tepat berhampiran dengan pusat peranginan terkenal, Pantai Teluk Cempedak - juga yang membuatkan dirinya tertarik untuk bermula dalam sukan itu suatu ketika dahulu.

“Sebab rumah pun dekat dengan pantai dan selalu lepak sana.

“Apabila tengok kawan-kawan surfing macam seronok, jadi kita pun rasa teringin untuk mencuba,” katanya yang turut menyertai pertandingan luncur ombak buat pertama kali di pusat peranginan terkenal di Pahang itu pada 2011.

Kini selepas hampir 10 tahun berada dalam arena sukan luncur ombak, Moena akhirnya dapat beraksi di peringkat tertinggi sepanjang kariernya dengan menjadi wakil Malaysia di temasya Sukan SEA bulan depan.

Dia yang sebelum ini pernah meraih beberapa kejayaaan dalam dan luar negara menyifatkan keberangkatan mereka mewakili negara nanti sebagai satu detik yang bersejarah, bukan saja buat dirinya tetapi secara umum buat sukan luncur ombak di negara ini.

“Ini kali pertama sukan luncur ombak dipertandingkan di Sukan dan ia memang bersejarah buat kami.

"Ia boleh menjadi permulaan untuk generasi peluncur ombak yang seterusnya. Mungkin dengan penyertaan kami kali ini masa depan mereka dalam sukan ini akan menjadi lebih cerah,” katanya lagi.

Bawa pulang pingat 

Menceritakan perjalanannya sehingga berjaya mewakili negara di temasya sukan dwitahunan terbesar rantau ini, Moena menjelaskan pemilihannya dibuat berdasarkan kutipan mata yang terkumpul melalui kemenangan yang dicatatkan dalam kejohanan yang berlangsung dalam negara sebelum ini.

Dia yang lebih banyak berlatih secara bersendirian bagaimanapun menjelaskan kejayaan itu juga adalah hasil sokongan penuh Persatuan Luncur Ombak Malaysia (PLOM).

Walaupun mengalami sedikit kekangan dari sudut kewangan untuk menyertai kejohanan di luar negara, Moena berkata dia masih mampu dan berkeyakinan untuk memberikan yang terbaik.

Setakat ini dia juga menyasarkan untuk membawa pulang pingat buat negara pada Dis nanti.

Dalam mempersiapkan dirinya bagi beraksi menentang peluncur-peluncur terbaik dari rantau Asia Tenggara itu, untuk tahun ini saja Moena sudah menyertai tiga kejohanan antarabangsa, iaitu di India, Thailand dan Indonesia.

Moena juga pada masa berharap agar pencapaiannya kali ini akan menarik minat  lebih ramai generasi muda untuk menceburkan diri dalam sukan luncur ombak memandangkan sukan itu juga semakin mendapat tempat di negara ini.

“Kita pun nak perkembangkan lagi sukan luncur ni sebab sukan ni dah lama sebenarnya, tetapi cuma orang di belah Pantai Timur yang ramai tahu sedangkan orang dari luar mungkin tak terfikir pun bahawa di Malaysia ni boleh surfing.

“Sebab mungkin mereka fikir sukan ini hanya boleh dimainkan di luar negara saja, macam di Bali,” jelasnya.

Lihat Komen
ADS