Malaysiakini

Aznil tamat kemarau pingat 6 tahun di Sukan Sea

R Vikneswaran & Bernama

Diterbitkan

Selepas enam tahun menanti untuk meraih pingat di Sukan SEA, atlet angkat berat negara Muhamad Aznil Bidin akhirnya berjaya melihat kilauan gangsa.

Badang berusia 25 tahun dari Kedah itu berjaya meraih podium dalam kategori 61kg lelaki selepas melakukan angkatan sejumlah 283kg di Stadium Ninoy Aquino, di Manila, Filipina.

Juara Sukan Komenwel 2018 itu lambat panas apabila gagal dalam percubaan pertama bagi snatch untuk bebanan 123kg, tetapi berjaya mengangkat bebanan sama pada percubaan kedua dan 126kg pada percubaan ketiga.

Bagi clean and jerk pula, beliau berjaya mengangkat 157 pada percubaan pertama, tetapi gagal dalam cubaan untuk mengangkat 161kg dalam dua angkatan seterusnya.

Lawannya juga bukan calang-calang orang, apabila emas dimenangi pemenang perak Sukan Olimpik Rio 2016 Eko Yuli Irawan, dari Indonesia dan Perak menjadi milik Juara Dunia 2017, Thach Kim Tuan dari Vietnam.

Eko melakukanan angkatan sejumlah 309kg (140kg + 169kg), manakala Kim mengangkat 304kg (135kg + 169kg).

Kejayaan itu seterusnya diharap menjadi pemangkin buat Muhamad Aznil, untuk meraih kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya meraih pingat selepas penantian lama. Selepas ini saya akan cuba melayakkan diri ke Tokyo dalam baki dua kejohanan yang saya akan sertai selepas ini.

"Saya perlu mendapatkan kedudukan lima terbaik, dalam dua kejohanan peringkat Asia pada bulan Februari dan April nanti. Saya akan cuba buat yang terbaik," katanya kepada selepas majlis penyampaian pingat.

Sebagai rekod, Muhamad Aznil menamatkan saingan di kedudukan keempat pada edisi 2013 di Nay Pyi Taw (56kg) dan 2017 di Kuala Lumpur (62kg), manakala angkat berat tidak dipertandingkan pada 2015 di Singapura.

-Bernama