Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Kento Momota cedera, pemandu maut dalam kemalangan di Putrajaya
Diterbitkan:  Jan 13, 2020 9:43 AM
Dikemaskini: 8:11 AM

Seorang pemandu van warga tempatan maut dalam kemalangan jalan raya awal pagi tadi, manakala penumpangnya yang merupakan juara Malaysia Masters, Kento Momota cedera.

Pemandu tersebut dikenal pasti sebagai Bavan Nageswarau.

Turut cedera penolong jurulatih Kento, Hirayama Yu, pakar fisio Morimoto Arkifuki dan pengendali sistem badminton dari England, William Thomas.

Laporan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat menjelaskan bahawa insiden tersebut yang turut melibatkan lori berlaku di sepanjang Maju Expressway menuju ke Putrajaya.

Semua mangsa sedang dalam perjalanan ke KLIA.

Bagaimanapun, selepas kemalangan, mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya.

Kento Momota 

Semalam, Momota mengungguli pingat emas Malaysia Masters selepas menewaskan pemain Denmark Viktor Axelsen dengan mata 24-22, 21-11. 

Sementara itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut menzahirkan rasa sedih susulan insiden yang berlaku membabitkan beberapa pemain tersebut.

Persatuan itu turut memaklumkan beberapa kecederaan ringan yang dialami pemain selepas mendapat rawatan di hospital.

“Pemandu van, N Bavan meninggal dunia, sementara ahli pasukan badminton Jepun, Kento Momota (mengalami luka kecil di muka dan keretakan hidung), penolong jurulatih Hirayama Yu (luka di perut dan lengan kanan).

"Pakar fisio Marimoto Akifuki (gegar otak) dan William Thomas (luka di atas dahi) tetapi (pemain) berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Selain itu, BAM juga berkata akan bekerjasama rapat dengan Malaysia dan Hospital Putrajaya untuk memastikan pemain mendapat perkhidmatan perubatan yang terbaik. 

Lihat Komen
ADS