Malaysiakini
SUKAN

Perlawanan akhir Piala Thomas dan Uber ditangguhkan

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menangguhkan pusingan akhir Piala Thomas dan Uber 2020 yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 11 Okt ini di Aarhus, Denmark susulan penularan pandemik COVID-19.

Dalam kenyataannya hari in, BWF berkata keputusan dibuat selepas berunding dengan Badminton Denmark, namun menegaskan kejohanan berprestij tersebut akan berlangsung pada tahun ini juga.

Badan sukan badminton dunia itu juga mengakui tindakan beberapa pasukan menarik diri daripada kejohanan susulan kebimbangan akan pandemik tersebut turut menyumbang kepada penangguhan kejohanan.

“Walaupun kembalinya aksi badminton dunia kekal sebagai keutamaan kami, kesihatan dan keselamatan seluruh komuniti badminton lebih diutamakan,” kata badan itu.

Keputusan itu tidak memeranjatkan memandangkan beberapa negara seperti Thailand, Australia, Taiwan selain juara Piala Thomas 13 kali Indonesia telah menarik diri lebih awal daripada kejohanan.

Bagaimanapun menurut BWF, Kejohanan Terbuka Denmark di Odense dari 13 hingga 18 Okt ini akan berlangsung seperti yang dijadualkan.

Kejohanan itu akan dimanfaatkan untuk melaksanakan protokol keselamatan dan prosedur operasi COVID-19 bagi kejohanan-kejohanan akan datang.

“Kejohanan kedua yang dijadualkan berlangsung di Odense iaitu Victor Denmark Masters 2020 dari 20 hingga 25 Okt ini bagaimanapun dibatalkan,” kata BWF yang turut memaklumkan yang ia akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan terhadap tiga kejohanan Asia berdasarkan kalendar Jelajah Dunia yang telah diubah suai.

Untuk rekod, sejak diperkenalkan masing-masing pada 1949 dan 1957, kejohanan Piala Thomas dan Uber tidak pernah dibatalkan.

-Bernama

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.