Sekumpulan pengamal karate menghantar memorandum kepada Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican bagi memohon campur tangannya menyelesaikan kemelut dalaman Persekutuan Karate Do Malaysia (Makaf).
Dipimpin Presiden Persatuan Karate Do Kuala Lumpur, Arrivalagan, sebahagian mereka hadir dengan memakai pakaian putih yang menjadi identiti seni bela diri itu.
Mereka membawa sepanduk mendakwa “suara majoriti” tidak diterima serta mahu tahu mengenai masa depan anggota-anggota berbakat mereka.
"Saya juara karate kebangsaan.
“Apa nasib saya YB?" menurut satu kain rentang yang dipamerkan di Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya.
Memorandum itu dihantar bagi menyatakan keresahan mengenai kemelut kepimpinan Makaf.
Sementara itu, Makaf dalam satu kenyataan yang dikongsikan kepada Malaysiakini pula berkata pihaknya kini hilang sokongan majoriti persatuan negeri.
Ini susulan penggantungan sembilan persatuan karate peringkat negeri dan tiga persatuan perguruan serta satu badan sukan status kebangsaan oleh Majlis Eksekutif Makaf sebelum ini.
"Makaf hilang sokongan majoriti persatuan negeri. Makaf sebagai organisasi yang berpusat sebagai sebuah persatuan bertaraf persekutuan akan mempunyai persatuan–persatuan yang mewakili peringkat negeri. Persatuan-persatuan negeri ini adalah persatuan yang mendapat mandat sebagai perwakilan negeri.
"Persatuan negeri ini mempunyai peranan yang penting serta amanat yang penting kepada Makaf. Antaranya adalah untuk turut serta dalam mencari serta mencungkil bakat muda dalam sukan karate.
"Namun begitu, akibat tindakan majlis eksekutif yang tidak menghormati ahli gabungan dan tidak mengikut aturan yang telah diperuntukan serta menginkari perlembagaan Makaf, ia telah memberi kesan langsung kepada penggantungan sembilan persatuan karate peringkat negeri dan tiga persatuan perguruan," kata Makaf dalam satu kenyataan.
Menurut Makaf, sebelum ini pihaknya juga telah mengambil beberapa pendekatan untuk memastikan kemelut dalaman gabungan itu dapat selesai.
Bagaimanapun, katanya usaha meminta campur tangan timbalan menteri ketika itu, Steven Sim menemui jalan buntu.
"Antara jawapan balas yang kami terima adalah untuk menyelesaikan masalah dalaman Makaf dalam kalangan anggota Makaf, melalui petikan Seksyen 23 Akta 576 - Akta Pembangunan Sukan.
"Kami juga telah meminta persatuan pesuruhjaya sukan turut mengadakan pertemuan dengan Makaf pada 14 Mei 2019 dan 20 Mei 2019. Namun begitu, pertemuan ini juga tidak membawa apa-apa kesan atau penyelesaian," katanya.
Tambahnya, pihak persatuan pesuruhjaya sukan cuma mendengar hujahannya sebagai plaintif dan tidak memberi apa-apa input dalam memastikan kemelut itu dapat diselesaikan.
"Kami sebagai wakil kepada sembilan persatuan karate peringkat negeri dan tiga persatuan perguruan telah membawa pelbagai cara dan inisiatif dalam memastikan kemelut dalam Makaf tidak menjadi parah yang hanya akan memberi impak yang negatif kepada persepi masyarakat terhadap Makaf sebagai badan induk yang berpusat sebagai persekutuan untuk sukan karate, malangnya segala usaha dan inisiatif kami hanyalah sia-sia dan tidak dapat mencari jalan penyelesaiaan," katanya.
Sebelum ini, semua ahli gabungan itu termasuk Persatuan Karate Do Shin Ryu, Persatuan Karate Hayashi Ha Malaysia, Persatuan Karate Do Goju Kai Malaysia, Majlis Sukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa persatuan karate negeri mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) di Ipoh bagi mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Majlis Eksekutif Makaf.
Mengulas lanjut, Makaf berkata kesimpulannya gabungan tersebut menaruh harapan kepada kementerian belia dan sukan melalui menterinya untuk segera campurtangan dalam kemelut pentadbiran Makaf selaras dengan peruntukan dib awah Akta 576 - Akta Pembangunan Sukan (Pindaan) 2018.
"Walaupun, kita sedia maklum dengan tindakan Makaf yang telah mengheret kita semua ke mahkamah, namun kami yakin dengan campur tangan warga Kementerian Belia dan Sukan khususnya menteri belia dan sukan, kemelut dalaman Makaf ini yang berpanjangan selama tiga(3) tahun ini akan menemui jalan penyelesaian.
"Aspirasi kami adalah untuk melihat Kementerian Belia dan Sukan(KBS) akan membuat sebuah perjumpaan semeja dan melantik sebuah jawatankuasa yang bebas dibawah naungan Kementerian Belia dan Sukan melalui Menteri Belia dan Sukan untuk mengadakan permilihan baru melalui Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) berlandaskan kepada Akta 576- Akta Pembangunan Sukan Pindaan 2018.
"Dengan pendekatan ini, kami yakin bahawa tindakan mahkamah yang diambil oleh Makaf akan menjadi akademik lalu terbatal secara automatik," tambahnya.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Reezal Merican berkaitan perkembangan itu.
