Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Ozil ajak peminat tadah tangan berdoa untuk Rohingya
Diterbitkan:  Apr 16, 2021 5:09 PM
Dikemaskini: 9:09 AM

Bintang bola sepak yang pernah mencetuskan kontroversi atas pendiriannya berhubung beberapa isu antarabangsa, Mesut Ozil, hari ini mengajak orang ramai terus mengingati nasib warga Rohingya di Myanmar.

Bekas pemain Arsenal dan pemain kebangsaan Jerman itu berkata sudah tiba masanya untuk orang ramai bangkit bersuara berhubung isu tersebut.

Jelasnya setiap orang wajar memiliki hak asasi yang sama.

“Kita kena berdiri bersama-sama sebagai manusia, terutama negara seperti Myanmar.

"Berdoa untuk mereka yang tidak selamat sekarang. Berdoa untuk saudara-saudara kita di Rohingya. Tadahkan tangan bersama. Sekarang masa untuk bersuara,” ciapnya di Twitter.

Mengiringi ciapan tersebut ialah tanda pagar #SaveRohingya dan #WhatIsHappeningInMyanmar.

Ozil yang kini berada dalam naungan kelab Turki, Fenerbahce adalah antara atlet sukan terkemuka dunia yang kerap mengeluarkan kenyataan bagi membantah keganasan ke atas Rohingya.

Malah, pemain beragama Islam itu juga sering memberi sumbangan kepada komuniti Islam yang ditindas.

Pada Feb lalu, tentera Myanmar menggulingkan kerajaan pimpinan Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) dan menahan sejumlah pemimpinnya atas tuduhan penipuan dalam pilihan raya umum tahun lalu.

Ia mencetuskan protes besar-besaran yang berlanjutan sehingga kini.

Bagaimanapun isu penindasan Rohingya - yang tidak diiktiraf sebagai rakyat Myanmar oleh kerajaan negara terbabit sejak sekian lama - sudah berlanjutan berdekad-dekad.

Malah ketika Aung San Suu Kyi menjadi pemimpin kerajaan, kemelut Rohingya tetap tidak ditangani walaupun dia sebelum ini pernah diberikan anugerah keamanan Nobel.

Malahy Suu Kyi dianggap sentiasa berdalih untuk mengambil tanggungjawab mengubah nasib etnik beragama Islam itu.

Sebelum ini Ozil, 32, juga bersuara melalui media sosial untuk menarik perhatian masyarakat antarabangsa terhadap nasib yang dialami etnik Uyghur di Xinjiang, China.

Tindakan itu membawa kepada 'pemulauan' Ozil dalam skuad The Gunners di sebalik statusnya sebagai pemain bergaji paling tinggi dalam skuad berkenaan.

Tidak diturunkan bermain sekian lama oleh pengurus kelab itu, Mikel Arteta, Ozil kemudian berhijrah ke kelab Turki sejak Feb lalu.

Sebagai penganut Islam Ozil juga dilaporkan tekal berpuasa Ramadan semasa bermain untuk Arsenal dulu.

Lihat Komen
ADS