Baru-baru ini, dunia sukan dikejutkan dengan dengan perancangan penubuhan Liga Super Eropah.
Pada mulanya, sebanyak 12 kelab bola sepak ternama menyatakan persetujuan untuk menyertai Liga ini.
Liga baharu ini terdiri daripada enam Kelab liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Chelsea, Liverpool, Manchester United, Manchester City, Arsenal dan Tottenham Hotspur.
Baki enam kelab pula terdiri daripada kelab bola sepak Itali (Inter Milan, Juventus dan AC Milan) dan kelab bola sepak Sepanyol (Atletico Madrid, Barcelona dan Real Madrid).
Namun, atas desakan peminat, kelab Chelsea dan Manchester City mula meninggalkan gabungan ini dan kemudian diikuti oleh empat kelab Liga Perdana Inggeris yang lain.
Gabungan Liga Super Eropah yang baru dibentuk tidak sampai 48 jam ini tiba-tiba menuju kegagalann apabila kebanyakan kelab mula menarik diri.
Naib pengerusi eksekutif Manchester United, Ed Woodward yang dikatakan berperanan dalam gerakan penubuhan liga ini mengumumkan peletakan jawatan serta-merta.
Ada desas-desus yang mengatakan bahawa dana sebanyak £3.9bilion daripada bank Amerika Syarikat, JP Morgan digunakan sebagai dana permulaan Liga Super Eropah.
Menurut kata presiden Kesatuan Bola Seak Eropah (Uefa) Alexander Ceferin, penubuhan Liga Super Eropah adalah rancangan yang memalukan, berkepentingan dan seperti meludah ke muka peminat bola sepak.
Beliau juga memberi amaran bahawa pemain dan kelab yang menyertai liga ini akan digantung daripada menyertai kejohanan Piala Dunia dan Piala Eropah.
Rata-rata peminat dan individu yang terlibat dengan sukan bola sepak menentang gabungan Liga Super Eropah kerana ketidakadilan format pertandingan yang hanya menjamin tempat kelab elit dalam liga.
Mengikut perancangan, 15 kelab pengasas akan tetap berada di dalam liga meskipun menunjukkan prestasi buruk di liga tempatan masing-masing.
Hanya beberapa kelab jemputan yang berjaya di liga tempatan boleh mendapat tempat dalam liga ini pada setiap tahun.
Ini boleh menyebabkan pertandingan liga tempatan menjadi suram dan tidak kompetatif.
Mengikut kebiasaan, kelab yang mendapat tempat teratas dalam liga tempatan akan berpeluang bertanding di peringkat yang lebih tinggi.
Ini bermakna, kelab yang tidak ternama masih berpeluang untuk bertanding ke peringkat seterusnya.
Kelab jadi komoditi perniagaan
Selain itu, menjadi kegusaran peminat yang merasakan kemasukan ke dalam Liga Super Eropah akan menjadikan kelab bola sepak mereka komoditi perniagaan yang mementingkan keuntungan dan wang ringgit semata-mata.
Semangat kesukanan akan mula terencat dengan nilai-nilai komersial yang melampau.
Harga tiket yang akan meningkat naik dan yuran siaran langsung yang dimonopoli akan menyebabkan hanya segelintir peminat golongan kayangan dapat mengikuti sukan ini sahaja.
Selain itu pembinaan pemain muda daripada bakat tempatan juga dikhuatiri akan terhalang dengan kemasukan pemain luar.
Secara kesimpulannya, isu ini membuktikan bahawa kuasa peminat terhadap sukan bola sepak adalah besar, sepertimana yang seringkali dilaungkan “Football is for the fans’’.
Bertindaklah mengikut hala tuju memajukan sukan bola sepak yang seimbang, jujur dan adil.
Janganlah ada pihak yang cuba untuk mengambil langkah mudah membina kekayaan sendiri dengan melupakan intipati dan semangat kesukanan yang sebenar.
PROF MADYA DR AZRUL HAFIZ ABDUL AZIZ ialah Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
