story image
mk-logo
Kegiatan atur perlawanan meningkat, merebak ke wilayah baru

Pandemik Covid-19 pada mulanya mungkin menjejaskan kegiatan mengatur perlawanan dan perjudian, tetapi sebenarnya telah mengundang petaruh meluaskan aktiviti mereka ke pertandingan dan wilayah baru di Asia, kata penganalisis.

Penularan pandemik itu telah menghentikan hampir 90 peratus aktiviti sukan dunia sejak Mac tahun lepas, dan pembuat taruhan di Asia amat terkesan kerana benua itu menyumbang sehingga 60 peratus daripada perolehan pertaruhan sukan global.

Ini menyebabkan pembuat taruhan meneroka apa-apa jua kejohanan atau pertandingan yang masih berlangsung, termasuk di wilayah yang belum diterokai di Asia Tengah.

Pertaruhan berlaku dalam liga Tajikistan dan Kyrgyzstan ketika kebanyakan liga popular dihentikan sekitar Mac-April tahun lepas, kata Pengarah Urusan Perkhidmatan Integriti Sportradar Andreas Krannich.

"Kami memerhatikan pembuat taruhan menawarkan pertaruhan untuk liga tersebut buat pertama kalinya. Sebagai contoh, pembuat taruhan membuat pertaruhan dalam satu daripada liga peringkat terendah - Liga Bawah-21 Tajikistan. Jumlah pertaruhan pada pertandingan itu agak tinggi.

"Ringkasnya, sepanjang gangguan akibat daripada Covid-19, pembuat taruhan dan kegiatan pertaruhan berlaku dalam mana-mana saja liga sedia ada yang berlangsung tanpa mengira kedudukan wilayah atau profesional," katanya kepada Bernama.

Krannich berkata pengatur perlawanan turut menyasarkan liga dan pertandingan yang lebih rendah kerana pertandingan berkenaan tidak mempunyai kewangan yang kuat dan kurang mendapat perhatian, menjadikannya sasaran terbaik pengatur perlawanan.

Jumpa pemain diam-diam

Dia yang berkhidmat selama 10 tahun dengan Bundesliga Jerman berkata pertaruhan meningkat pada Mei dengan kembalinya Liga-K (Liga Korea Selatan), liga profesional pertama yang kembali berlangsung selepas terhenti akibat pandemik Covid-19.

Katanya, Sportradar mendapati anggaran 345 peratus peningkatan dalam perolehan pertaruhan berbanding pada 2019, dengan divisyen kedua Liga Korea Selatan (Liga-K 2) mencatatkan kenaikan kira-kira 190 peratus.

Penganjuran sukan secara berperingkat dengan sekatan yang ketat dan kurangnya penonton telah meningkatkan risiko mengatur perlawanan dan manipulasi, menurut Sportradar yang menjalin kerjasama dengan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hingga 2028.

Bookie pula telah mengubah pendekatan mereka untuk ‘membeli’ seluruh pasukan atau melabur dana atas nama penajaan berbanding melibatkan satu atau dua pemain bagi membolehkan mereka mengawal sepenuhnya pasukan dan pemain.

“Bagaimana mengatur perlawanan dikendalikan pada masa lepas adalah pendekatan tradisional satu lawan satu, ketika mereka secara diam-diam bertemu dengan pemain atau pegawai untuk mengikat mereka.

"Kini pengatur perlawanan mengubah cara mereka beroperasi dari segi organisasi.

“Disebabkan masalah kewangan akibat Covid-19, banyak kelab di Asia berisiko muflis dan sangat memerlukan dana dan sokongan kewangan.

"Mereka mungkin akan menerima tawaran perolehan tanpa usaha wajar dari pihak dan aliran dana. Masalah mengatur perlawanan kemungkinan semakin buruk,” katanya.

Oleh itu, tidak mengejutkan apabila United Kingdom dan Sepanyol bercadang untuk melarang syarikat pertaruhan daripada beriklan di jersi pasukan.

Krannich berkata gaji pemain bola sepak di Asia yang lebih rendah berbanding pemain di Eropah serta peningkatan jumlah penonton bola sepak di rantau ini turut menjadi tarikan individu untuk menjadi mangsa pengatur perlawanan yang lebih besar.

"Sportradar yang memantau lebih 600,000 perlawanan setahun mengenal pasti lebih daripada 5,400 perlawanan mencurigakan melibatkan liga sukan utama seperti bola sepak, bola keranjang, e-sukan, tenis, bola tampar dan kriket sejak 15 tahun lepas melalui Sistem Pengesanan Penipuan Universal (UFDS)," katanya.

Tetap jadi ancaman berterusa 

Menurut Krannich ia membabitkan 443 tindakan disiplin dan 51 disabitkan kesalahan.

Katanya berkata baru-baru ini Sportradar mengenal pasti aktiviti mencurigakan di tiga negara yang tidak mempunyai sejarah aktiviti mengatur perlawanan iaitu Oman, Tajikistan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Krannich berkata kerjasama dengan AFC sejak 2013 berjaya mengurangkan kegiatan mengatur perlawanan di China dan Malaysia, dan membawa kepada beberapa pendakwaan yang berjaya termasuk penggantungan seumur hidup empat pemain Asia Tengah yang terlibat dalam kegiatan mengatur perlawanan dalam kejohanan AFC pada 2017 dan 2018, dan tertangkapnya lima pemain Nepal yang mengatur perlawanan ketika temasya Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

“Walaupun sukan kembali normal secara berperingkat, dengan sekatan yang ketat dan khalayak lebih kecil, pengaturan perlawanan dan manipulasi dalam sukan tetap menjadi ancaman berterusan.

"Pengatur perlawanan belajar dan menyesuaikan diri dalam norma baru dengan mempelbagaikan operasi mereka dan menjadi lebih agresif dalam meluaskan pendekatan mereka ke dalam sukan dan kawasan tertentu.

“Ini menjadi perlumbaan senjata kepada pihak berkuasa untuk terus berwaspada terhadap kegiatan haram dan barah ini. 

"Kebanyakan individu dan organisasi kini menghadapi masalah kewangan berikutan pandemik; perjuangan untuk menyelamatkan sukan tidak pernah sepenting sekarang,” katanya.

- Bernama

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen (0)
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS