Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Sanusi jawab TMJ: Apa punya peluru 'kapoq' tala ikut suka dia
Diterbitkan:  Nov 14, 2021 8:39 PM
Dikemaskini: 12:40 PM

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dakwaan pihaknya hanya akan melunaskan bayaran gaji skuad Lang Merah sekiranya turun berdepan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Gaji pemain bola kita sudah bayar, tahun ini sudah RM21 juta kita bayar (secara keseluruhan). Ada orang cakap nak lawan JDT baru bayar gaji, saya kata kalau lagu tu kena lawan JDT tiap-tiap bulan baru bayar gaji.

"Takkan macam tu, kalau tak lawan JDT pun kita bayar, sekarang (kita sudah bayar untuk) bulan Oktober, takkan bulan 1,2,3 (kita tak bayar sebab tak) ada lawan JDT," katanya pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan Kedah 2022 di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.

Malam ini, Kedah bertemu skuad Harimau Selatan dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman.

Terdahulu, Sanusi tampil menjawab sindiran pedas pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung isu tunggakan gaji membabitkan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Ini selepas Tunku Ismail dilihat mengkritik pengurusan KDA dan menggelarkan Sanusi sebagai ‘kepala pistol'.

"Bila nak lawan JDT sahaja ke baru nak bayar gaji? Sampai bila nak perangai macam ni? Kepala pistol," tulis Tunku Ismail di media sosial.

Menjawab kenyataan itu di Facebook, Sanusi mempertahankan tindakan pihaknya yang baru sahaja melunaskan tunggakan gaji pemain Kedah yang tidak dibayar selama dua bulan.

"La ni bulan sebelas dah. Bulan satu sampai bulan sepuluh kena lawan JDT tiap-tiap bulan ka? Apa punya peluru kapoq tala ikut suka dia," jawab Sanusi di Facebooknya.

Aksi berbalas sindiran itu berlaku ketika Kedah bakal turun menentang skuad Harimau Selatan dalam aksi suku akhir Piala Malaysia.

Terdahulu, isu tunggakan gaji pemain Kedah itu mendapat perhatian Tunku Ismail yang mendakwa KDA tidak serius menguruskan gaji pemain namun apabila berdepan JDT, tiba-tiba tunggakan itu diselesaikan.

Dalam satu hantaran yang lain, Sanusi memaparkan beberapa keping gambarnya sedang bermain bola sepak.

“Hang tak pakai seluaq lagi aku main bola dah. La ni pun dok main bola lagi. Diet apa diet?” katanya.

Menteri besar Kedah itu dikatakan mengulas mesej tular di media sosial dikatakan dikirim secara peribadi oleh Tunku Ismail kepada Sanusi.

Malaysiakini tidak dapat memastikan kesahihan mesej berkenaan dan sedang menghubungi Pejabat Menteri Besar Kedah untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Dalam mesej berkenaan, Tunku Ismail bertanya mengenai gaji pemain Kedah selain menawarkan diri untuk memberikan tips penjagaan berat badan kepada Sanusi.

"Salam Datuk. Gaji dah bayar? Bagus. Kebajikan pemain atau rakyat harus kita jaga. 'Well done', jaga diri dan jaga kesihatan. Kalau nak diet call, saya ajar," katanya.

Lihat Komen
ADS