Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
‘RM42.5j untuk bekalan makanan tetapi elaun atlet dikurangkan’
Diterbitkan:  Jan 13, 2022 10:58 AM
Dikemaskini: 2:58 AM

Seorang wakil rakyat PKR mempersoalkan kewajaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan RM42.5 juta untuk bekalan makanan bermasak bawah Bajet 2022 di sebalik terpaksa mengurangkan elaun untuk atlet atas kekangan belanjawan.

Dalam satu kenyataan semalam, Addun Rawang, Chua Wei Kiat berkata Institut Latihan KBS diberi RM42.5 juta untuk perkhidmatan bekalan makanan bermasak.

“Sebelum ini Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu menegaskan sebanyak RM40 juta lagi diperlukan untuk membolehkan program latihan atlet berprestasi tinggi dapat dilaksanakan seperti yang dirancang sebelum ini.

“Program Podium yang diperkenalkan lima tahun lalu terpaksa ditamatkan pada tahun ini sekali gus memaksa pihaknya untuk 'mengorbankan' hampir separuh atlet dalam program berkenaan.

“Persoalannya, adakah penyediaan makanan lebih penting berbanding dengan peruntukan latihan atlet?” katanya.

Ahmad Faizal Azumu, Menteri

Chua seterusnya membidas menteri Bersatu itu kerana gagal menggunakan dana awam dengan baik dan hanya memberi tumpuan kepada perkara yang tidak penting berbanding sukan dan atlet.

Perkhidmatan bekalan makanan bermasak adalah peruntukan baru di bawah Bajet 2022. Ia tidak ada pada tahun sebelumnya.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Ahmad Faizal untuk mendapatkan ulasan.

Pada 18 Disember tahun lalu, menteri itu dilaporkan berkata kementeriannya bercadang untuk mendapatkan pembiayaan RM40 juta bagi meneruskan program persiapan atlet seperti Program Podium yang dihentikan bagi 2022.

Sebelum ini, dilaporkan 144 atlet negara digugurkan kerana kekurangan bajet. Majlis Sukan Negara yang dipengerusikan oleh Ahmad Faizal kemudian menjelaskan jumlah sebenar ialah 253 orang.

Antara mereka yang digugurkan ialah penerjun negara dan juara dunia 2017 Cheong Jun Hoong, yang akhrnya memutuskan untuk bersara sepenuhnya daripada sukan itu.

Langkah itu telah mendorong beberapa atlet berprofil tinggi untuk mengumumkan persaraan mereka juga.

Atlet acara lari berpagar kebangsaan, Rayzam Shah Wan Sofian turut mendedahkan elaun bulanannya dikurangkan daripada RM2,000 kepada RM800.

Tindakan MSN itu dikritik oleh atlet lain seperti pemain skuasy negara Low Wee Wern dan Persekutuan Silat Kebangsaan.

Pada 10 Januari lalu, Ahmad Faizal dilaporkan berkata kementerian bukan berindak kejam tetapi hanya "berbelanja mengikut kemampuan" ketika wabak Covid-19 berterusan.

Lihat Komen
ADS