Saingan Bundesliga di antara Augsburg menentang Mainz 05 dihentikan seketika pada minit ke-65 untuk memberikan ruang kepada pemain kelahiran Perancis yang beragama Islam, Moussa Niakhaté, berbuka puasa.
Dalam video berdurasi 37 saat oleh ESPN FC, pemain Mainz 05 itu dilihat meminum air dari botol sukannya sebelum menyambung permainan dan berjabat tangan dengan pengadil sebagai tanda berterima kasih.
Keprihatinan pengadil perlawanan, Matthias Jöllenbeck, meniup wisel untuk memberhentikan sebentar permainan ketika masuknya waktu maghrib di wilayah berkenaan mendapat liputan luas dari komuniti Islam sejagat.

Rata-rata melahirkan rasa kagum dengan semangat kesukanan yang ditunjukkan kedua-dua pasukan tanpa mengira latar belakang.
“Ini sebab mengapa saya mencintai sukan bola sepak, perbezaan yang kita ada semuanya diletakkan ke tepi kerana masing-masing mempunyai semangat yang sama untuk menghayati permainan,” kata seorang warganet.
“Masha-Allah, inilah keindahan bola sepak, lebih dari sekadar sebuah acara sukan,” kata seorang lagi warganet.
Pemberhentian perlawanan untuk memberikan peluang kepada pemain berbuka puasa pada Khamis lalu adalah yang pertama kali diterapkan dalam Bundesliga.
