Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) berhasrat mengadakan rundingan dengan Persatuan Sepak Takraw Kemboja (CSA) dan Persekutuan Chinlone Asia (ACF) untuk memasukkan semula acara antara regu dan beregu pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh.
Presiden Astaf Abdul Halim Kader berkata usaha ke arah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu akan dilakukan apabila dia bertemu Presiden CSA Meas Sarin dan Presiden ACF Soi Naing di Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-35 di Bangkok pada 24 hingga 31 Julai ini.
“Astaf juga akan memohon sokongan daripada Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Mohamad Norza Zakaria untuk membantu usaha membawa masuk kembali acara antara regu dan beregu pada temasya Sukan SEA 2023.
“Astaf tetap berpandangan positif dan penuh yakin masih ada ruang untuk ke meja rundingan bersama CSA dan ACF bagi membincangkan semula berkaitan acara antara regu dan beregu agar dipertimbangkan untuk dipertandingkan pada Sukan SEA Kemboja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rabu lepas, mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dengan saranan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kemboja (CAMSOC) memutuskan hanya acara regu berpasukan, kuadran, gelung dan chinlone bagi sepak takraw akan dianjurkan pada temasya dwitahunan itu di Kemboja.
Selain Mohamad Norza, Abdul Halim memaklumkan akan turut mendapatkan sokongan Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Mastaf) Suhaili Abdul Rahman dan Setiausaha Agung Mastaf Dr Noor Azam Shamsudin.
Selain itu, Presiden Majlis Olimpik Thailand General Pravit Wongsuwan dan Presiden Majlis Olimpik Indonesia Raja Sapta Oktohari juga dalam usaha membawa masuk kembali kedua-dua acara tersebut di Kemboja.
- Bernama
