Bekas menteri belia dan sukan Ahmad Faizal Azumu menyifatkan penggantungan pemain hoki negara Hanis Nadiah Onn daripada mewakili negara sebagai tepat pada masanya.
“Penggantungan ini merupakan peringatan yang tepat pada masanya kerana komen berbaur perkauman tersebut tiada ruang dalam masyarakat Malaysia yang berbilang-kaum.
“Rasa hormat antara satu sama lain adalah asas paling penting kepada masyarakat kita, dan sebagai seorang pemain hoki kebangsaan, Hanis harus bertanggungjawab atas komen tersebut,” katanya.
Komen timbalan presiden Bersatu berbeza nada sama sekali dengan Pengerusi Jawatankuasa Portfolio Belia dan Sukan Ahli Dewan Rakyat Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari.

Ahmad Fadhli yang juga pemimpin PAS semalam mengecam sekeras-kerasnya penggantungan Hanis dan menyifatkan ia sangat keras berbanding dengan kesalahan yang dilakukan.
Hanis didakwa memberikan komen berbaur perkauman berkaitan komen komposer terkenal AR Rahman di Kuala Lumpur baru-baru ini yang dihadiri majoriti kaum India.
‘Beri sokongan, kerjaya atlet singkat’
Sementara itu, Ahmad Faizal juga mencadangkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Hoki Malaysia (KHM) memberi sokongan yang bersesuaian kepada Hanis.
"Jangka hayat kerjaya seseorang atlet lazimnya singkat, maka diharapkan Hanis sokongan yang bersesuaian dari KHM dan MSN agar tidak mengulangi kesilapan yang sama,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Faisal juga mengingatkan bahawa komen Hanis tidak asing dalam konteks ini.
"Komen bersifat perpecahan semakin merebak di platform media-media sosial, dari komen perkauman secara halus di ruangan editorial sehinggalah ke kenyataan-kenyataan yang menghina bangsa dan agama yang di laman-laman media sosial," katanya.
Tambahnya, pada pilihan raya umum baru-baru ini, pandangan yang menggunakan terma seperti “Taliban” dan “pelampau agama” menjadi norma yang diungkapkan.
