Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
MPM optimis walau hanya atlet pelapis ke Sukan Para Asean
Diterbitkan:  Apr 18, 2023 1:00 PM
Dikemaskini: 5:02 AM

Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) optimis mampu mencatat pencapaian lebih baik walaupun hanya menghantar atlet pelapis pada Sukan Para ASEAN (APG) kali ini di Kemboja berbanding edisi lepas di Solo, Indonesia .

Presidennya Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata seramai 140 atlet yang bakal menggalas cabaran di Phnom Penh bermula 3 hingga 9 Jun ini, sedang membuat persiapan rapi untuk mencapai misi tersebut.

Beliau berkata pemenang emas Sukan Paralimpik dan atlet berprestasi tinggi seperti Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting) tidak akan menyertai temasya bagi atlet kurang upaya Asia Tenggara itu, selain turut terpaksa menggugurkan lima atlet kerana kecederaan. 

“Kebanyakannya kita akan hantar atlet pelapis dan mereka yang beraksi di APG Solo dan Sukan Para Remaja Asia (AYPG) 2021 di Bahrain. Sudah pasti nak sasaran lebih baik daripada Solo, cuma sasaran sebenar dijangka diumumkan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh nanti, selepas MPM berbincang dengan MSN (Majlis Sukan Negara). 

“Saya percaya atlet para sudah bersedia, semua dah ada dalam program latihan, atlet baharu pun sudah mula masuk program, jadi saya berharap pencapaian akan meningkat,” katanya selepas majlis berbuka puasa MPM di Kuala Lumpur, malam tadi.

Pada edisi ke-11 yang diadakan di Solo pada Julai dan Ogos tahun lepas,  selepas terjejas dengan pandemik COVID-19, Malaysia yang diwakili kontinjen kecil 73 atlet, beraksi cemerlang untuk membawa pulang 36 emas, 20 perak and 14 gangsa bagi menamatkan cabaran di tempat keempat keseluruhan. 

Pada edisi KL 2017, Malaysia menamatkan saingan di tempat kedua dengan 90 emas, 85 perak dan 83 gangsa apabila saiz kontinjen negara melebihi 300 atlet. Edisi 2019 di Filipina dibatalkan. 

Sementara itu, Megat meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan terbaharu Kemboja untuk memberikan hak penyiaran bagi Sukan SEA yang akan berlangsung dari 5 hingga 17 Mei secara percuma.

Sebelum ini, Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kemboja (CAMSOC) bersetuju untuk menjual hak penyiaran Malaysia bagi temasya itu kepada MPM, untuk dijual kepada syarikat penyiaran di negara ini.

“Satu berita yang sedih kerana kita ambil langkah itu untuk mendapatkan dana tambahan untuk MPM bertahan selama tiga tahun lagi, tapi kita akan cari jalan untuk mendapatkan dana lain.

“Selain itu, sehingga hari ini kita tiada kepastian sama ada APG dapat disaksikan dalam televisyen atau tidak. Sebelum ini CAMSOC bersetuju untuk MPM meletakkan infrastruktur penyiaran sendiri untuk menyiarkan empat sukan - renang, olahraga, badminton dan powerlifting,” katanya.

Megat berkata pihaknya sedang berhubung dengan pihak penganjur untuk mendapatkan kepastian mengenai penyiaran APG ke-12 itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS