Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Sukan SEA: Dusuki titip tahniah atas prestasi terburuk M'sia
Diterbitkan:  May 17, 2023 3:13 PM
Dikemaskini: 7:15 AM

Seorang pemuka PAS hari ini melontarkan sindiran terhadap pemimpin dan penyokong kerajaan perpaduan susulan prestasi buruk kontinjen negara di temasya Sukan SEA Kemboja 2023.

Dalam hantarannya, Ahmad Dusuki Abd Rani mengucapkan 'tahniah' kepada menteri dan timbalan menteri belia dan sukan, serta seluruh para penyokong kerajaan Madani.

Bahkan bekas calon PAS untuk PRU ke-14 itu mengaitkan prestasi tersebut dengan pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

"Kejayaan pencapaian ini akan dikenang sebagai ingatan yang terbawa-bawa sehingga PRN.

"Simpan kenangan ini dalam lipatan sejarah agar diingati dan diambil iktibar oleh generasi pewaris pada masa akan datang nanti," katanya hari ini.

Terdahulu media melaporkan kontinjen Malaysia sekali lagi mencatatkan pencapaian terburuk dalam sejarah Sukan SEA dengan menduduki tempat ketujuh.

Malaysia juga gagal mencapai sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan sebelum ini.

Pada hari semua acara pingat berakhir semalam, pencapaian negara pada edisi ke-32 di Phnom Penh itu lebih buruk berbanding temasya sama di Hanoi, Vietnam pada tahun lalu.

Selepas temasya sukan dwitahunan itu melabuhkan tirai malam tadi, kontinjen negara pulang dengan detik hitam apabila hanya mengutip 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa.

Mengulas lanjut Ahmad Dusuki terus menyindir kerajaan dan penyokongnya dengan menganggap apa yang berlaku itu sebagai "terbaik."

"Cantik dan terbaiklah kerajaan ini bagi kalian," katanya.

Sementara itu hantaran tersebut mengundang reaksi yang pelbagai daripada warganet.

Ketika penyokong Ahmad Dusuki menyambut baik sindiran tersebut, sebahagian yang lain pula menganggap tidak wajar bagi tokoh PAS terbabit mengaitkan sukan dengan politik.

Ada antara mereka meminta Ahmad Dusuki agar bersikap neutral apabila memberikan pandangan berkaitan sukan.

Lihat Komen
ADS