Pendaki gunung veteran T Ravichandran dikecam di atas talian kerana tidak mengucapkan terima kasih kepada malim gunung yang menyelamatkan nyawanya di Gunung Everest.
Pada 18 Mei, Ravichandran ditemui oleh Gelje Sherpa di zon maut”gunung itu yang mempunyai tahap oksigen tipis dan cuaca sejuk melampau.
Gelje memberitahu CNN, ketika ditemui Ravichandran sedang menggeletar memegang tali, tiada tangki oksigen atau ditemani pemandu pendakian atau teman.
Gelje kemudian memujuk pendaki China yang dipandunya untuk membatalkan pendakian ke puncak demi membolehkannya menyelamatkan nyawa Ravichandran.

Dia membungkus Ravichandran dengan beg tidur dan menggalasnya dengan berjalan selama enam jam ke Kem 4 Everest.
Ravichandran kemudian dibantu oleh malim gunung lain dan diterbangkan untuk mendapatkan rawatan.
Ravichandran, 58, yang sudah tiga kali menawan Everest dan hilang enam jari akibat luka beku, akhirnya sembuh dan kembali ke Malaysia, di mana dia memberikan wawancara kepada stesen TV.
Bagaimanapun, dalam sesi itu dia tidak menyebut nama Gelje, walaupun berterima kasih kepada penaja, insuran penyelamat dan organisasi sekutu.
Perkara itu menyebabkan pengguna maya berang kerana dia tidak menyebut nama “penyelamatnya”.
Dia malah didakwa menyekat dan memadam komen kritikan dan menyekat akaun Gelje di Instagram.
Ravichandran bagaimanapun akhirnya berterima kasih kepada Gelje dan malim gunung lain yang menyelamatkannya.
Gelje, puak Sherpa yang mahir dengan selok-belok Everest, kemudian memberikan ucapan selamat supaya dia cepat sembuh.
Perkara itu bagaimanapun tetap tidak memuaskan hati banyak pihak yang menganggap ia sudah terlambat dan dibuat hanya selepas dikritik.
Pada masa yang sama, rakyat Malaysia membanjiri ucapan terima kasih kepada media sosial Gelje.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ravichandran menafikan dia menyekat orang ramai daripada media sosialnya.
Katanya, dia sebaliknya telah menghubungi dan berterima kasih kepada Gelje dan malim gunung lain yang menyelamatkannya.
Musim ini antara musim paling berbahaya buat pendaki Everest.
Setakat ini 12 orang terkorban dan lima lagi masih hilang dan berkemungkinan maut.
