Kecederaan siku dialami Muhammad Sharul Aimy Mohd Kamaru Hisam usai Sukan Asia Hangzhou 2022 bukan penghalang buat gimnas negara itu menanam impian untuk melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Sebaliknya, atlet berusia 22 tahun berkenaan bertekad mempamerkan aksi terbaik sekali gus membawa pulang pingat pada empat kejohanan Piala Dunia Gimnastik Artistik tahun hadapan.
Empat kejohanan Piala Dunia yang akan berlangsung di Kaherah (Mesir), Cottbus (Jerman), Doha (Qatar) serta Baku (Azerbaijan) bermula Januari hingga Mac tahun depan, menawarkan mata kelayakan untuk ke Olimpik.
“Saya tidak menjalani latihan berat berikutan kecederaan siku dalam tempoh sebulan. Sekarang ini keadaan dalam 50-50, tapi saya hanya melakukan latihan mana yang boleh sahaja.
“Untuk tahun ni tiada penyertaan kejohanan lain jadi saya akan fokus kepada latihan sempena empat kejohanan Piala Dunia. Itu peluang terakhir saya (untuk layak),” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sharul Aimy juga menjangkakan saingan hebat daripada atlet lain yang turut memburu slot ke sukan Olimpik.
“Keyakinan lepas Sukan Asia memang tinggi untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik sebab ini merupakan langkah pertama saya.
"Pada Sukan Komanwel dan Kejohanan Dunia saya dapat masuk final tapi saya gagal jadi kejayaan di Sukan Asia tempoh hari membakar semangat saya untuk bangkit,” katanya.
Pada 29 Sept lepas, atlet kelahiran Terengganu itu meraih gangsa di Hangzhou sekali gus menamatkan kemarau 17 tahun skuad gimnastik negara untuk memenangi pingat di Sukan Asia selepas kali terakhir dilakukan Ng Shu Wai yang merangkul perak pada Doha 2006 dalam acara melombol lelaki.
- Bernama
