Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata pihak swasta perlu mendapatkan kelulusan kerajaan sebelum membida hak untuk menganjurkan sebarang acara sukan antarabangsa di Malaysia.
Berucap di Dewan Rakyat semasa perbahasan rang undang-undang perbekalan tambahan, Yeoh berkata ini kerana kerajaan perlu mempertimbangkan kedudukan kewangan sebelum memutuskan untuk menganjurkan acara sukan antarabangsa, sekiranya sesuatu bidaan berjaya.
"Penganjuran antarabangsa ini selalunya ada pihak yang akan pergi bida, ada yang pergi bida tanpa kelulusan kerajaan. Selepas bida, mereka datang berjumpa dan kata kita dah dapat bida, kita nak duit untuk anjurkan.
"Jadi tak adil untuk kerajaan kalau ada pihak yang pergi bida tanpa mendapat kelulusan," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin semasa sesi perbahasan.
Merujuk Akta Pembangunan Sukan 1997, Yeoh berkata syarat itu bukan sahaja untuk sukan permotoran tetapi semua sukan memandangkan akta berkenaan menyebut mengenai syarat kelulusan untuk menjadi tuan rumah bagi pertandingan antarabangsa.
"Seksyen 33 - tiada seorang pun boleh membuat tawaran ataupun menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah bagi apa-apa pertandingan atau acara sukan antarabangsa di Malaysia tanpa kelulusan bertulis menteri terlebih dahulu dan keputusan menteri adalah muktamad," katanya.
Menteri itu menjawab isu dibangkitkan Zhemin dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid selepas keluar laporan bercanggah mengenai pendirian kerajaan berhubung penganjuran perlumbaan Formula E dan Formula Satu.
Mengulas lanjut, Yeoh berkata isu kos menjadi pertimbangan utama kerajaan sebelum mempertimbangkan kelulusan untuk sebarang bidaan dibuat.
Sebaliknya Yeoh berkata MotoGP mempunyai lebih ramai peminat, justeru kerajaan membuat keputusan untuk terus melabur dalam penganjuran acara itu.
"Untuk F1, kita telah jawab yang yuran penganjurannya tinggi, anggaran RM228 juta. Berbanding dengan MotoGP RM53.2 juta - bermaksud Moto GP lebih murah.
“Anggaran untuk Formula E - kita tak dapat info tapi berdasarkan kajian adalah lebih kurang RM120 juta, dua kali ganda MotoGP.
"Jadi walaupun semua orang akan mengatakan event ini bagus, tapi kita kena tengok kemampuan dan minat rakyat terhadap sukan tersebut. Kenapa MotoGP, seperti yang saya nyatakan, 182,000 pengunjung akan datang dan Sepang International Circuit memerlukan acara MotoGP ini," tambahnya.
Sebelum ini, portal berita Free Malaysia Today melaporkan sebuah syarikat swasta sedang menunggu maklum balas daripada Pejabat Perdana Menteri untuk mendapatkan persetujuan untuk menganjurkan Formula E di negara ini.
Yeoh juga mengesahkan syarikat itu tidak pernah menemui kementeriannya dan telah mengadakan pertemuan dengan pihak yang berkaitan untuk membincangkan perkara itu.
