Setelah hampir sebulan berteka-teki, persoalan mengenai kesediaan Malaysia menerima tanggungjawab menjadi negara penganjur Sukan Komanwel 2026 terjawab dengan pengumuman Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bahawa Malaysia menolak tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF). 

Keputusan itu dibuat setelah meneliti pandangan pelbagai pihak terkait selain menimbang tara impak yang mungkin dijana oleh penganjuran Sukan Komanwel dari sudut jangka masa pendek mahupun panjang. 

Di kala ada peminat dan pemerhati sukan mungkin sedikit kecewa dengan keputusan terbabit, harus diakui ia adalah keputusan yang terbaik untuk semua pihak pada masa ini.

Sukan Komanwel ialah sebuah kejohanan sukan bertaraf dunia yang menjadi medan untuk negara-negara berdaulat yang memperoleh kemerdekaan oleh British  atau pernah dijajah oleh pihak British memperagakan atlet terbaik mereka dalam pertandingan yang diadakan empat tahun sekali. 

Rekod terkini mencatatkan sebanyak 74 negara dan wilayah menjadi ahli CGF sekaligus menjadikan Sukan Komanwel sebagai temasya sukan kedua terbesar selepas Sukan Olimpik. 

Mungkin ramai tidak tahu bahawa Sukan Komanwel dipertandingkan sejak tahun 1930 dengan menggunakan pelbagai nama termasuk Sukan Empayar British, Sukan Komanwel dan Empayar British serta Sukan Komanwel British sebelum  dijenamakan sebagai Sukan Komanwel bermula tahun 1978. 

Dengan sejarah yang begitu panjang dan harum, jelas Sukan Komanwel punyai prestij tersendiri. Maka, tidak hairan bagaimana kejayaan Malaysia menganjurkan Sukan Komanwel pada tahun 1998 menyemai  rasa bangga dan bersyukur dalam jiwa seluruh anak Malaysia kala itu. 

Malah, Malaysia juga sekali gus mengangkat martabat negara untuk berada dalam kalangan hanya sembilan negara anggota yang terpilih menjadi tuan rumah bersama England, Kanada, Australia, Wales, New Zealand, Jamaica, Scotland dan India. 

Ini menempatkan Malaysia di kelompok istimewa di kalangan negara peserta lain sekali gus menjelaskan mengapa CGF optimis menawarkan satu lagi peluang penganjuran Sukan Komanwel kepada Malaysia.

Tak sama dengan temasya 1998 

Bagaimanapun, tawaran penganjuran kali ini tidak sama dengan temasya 1998 yang lepas. Paling ketara, Malaysia hanya ditawarkan peluang penganjuran setelah bandar Victoria, Australia menarik diri daripada penganjuran. 

Keputusan mengejut Victoria itu dibuat atas alasan peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 billion (lebih kurang RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (RM21.78 bilion). 

Victoria malah setuju membayar pampasan AUD380 juta (RM1.8 bilion) kepada CGF atas pembatalan kontrak sambil menyifatkan ia mudarat (kos) yang lebih kecil. Tinjauan umum mengenai keputusan itu dalam kalangan rakyat Australia mendapati lebih ramai yang bersetuju dengan keputusan pembatalan kontrak itu. 

Steve Georgakis, seorang pensyarah sukan di Universiti Sydney berpendapat pola pengundian itu mencerminkan perubahan sosiobudaya masyarakat Australia sejak 20 tahun kebelakangan ini di mana rakyat Australia telah mengalami perubahan struktur biodiversiti dengan kepelbagaian kaum dan bangsa kini tidak lagi merasa terkait secara budaya atau sejarah dengan British dan Komanwel. 

Penolakan itu dirasakan wajar oleh sebilangan besar rakyat mereka. Harus diingat, pada edisi sebelumnya, CGF juga pernah berhadapan masalah untuk mencari penganjur apabila tawaran asal yang diberi kepada bandar Durban, Afrika Selatan telah ditolak, juga atas faktor kewangan.

Ketika itu, kesudian Birmingham untuk menjadi tuan rumah menyelamatkan maruah penganjuran sekaligus merealisasikan temasya sukan ini dijalankan seperti biasa.

  

Dengan harapan bahawa Malaysia mampu berperanan seperti Birmingham pada edisi 2022, wakil CGF telah mengunjungi Malaysia untuk berbincang tentang tawaran penganjuran temasya sukan yang dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 29 Mac 2026. 

Pertemuan antara wakil CGF bersama Yeoh yang turut dihadiri Menteri Kewangan Kedua, Amir Hamzah Azizan, diadakan pada 5 Februari untuk membincangkan kemungkinan Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026. 

CGF dilaporkan telah menawarkan 100 juta pound (sekitar RM603 juta) sekiranya Malaysia bersetuju.

Rentetan daripada pertemuan itu, fokus perbincangan peminat dan pengamal sukan tertumpu ke arah kewajaran bagi kerajaan Malaysia menerima tawaran tersebut. 

Secara umumnya, semua pihak bersetuju bahawa tawaran itu bersifat tergesa-gesa dengan tinggal sekitar dua tahun sebelum kejohanan. 

Model Sukan SEA 2017

Tidak kurang ramai yang merasakan bahawa tawaran 100 juta pound itu tidak mencukupi untuk persiapaan yang menyeluruh. 

Bagi Majlis Olimpik Malaysia (MOM), tawaran ini seharusnya diterima dan segala kebimbangan tentang aspek penganjuran dapat diselesaikan dengan beberapa strategi. 

Antara strategi yang diusulkan oleh MOM menerusi Setiausaha Agungnya,  Nazifuddin Najib adalah seperti berkongsi penganjuran dengan Singapura, atau menggunakan model penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. 

MOM juga berpendapat, sekiranya kos ialah kebimbangan utama, ia boleh diatasi dengan mengurangkan jenis sukan yang dipertandingkan serta mengelak daripada membina perkampungan sukan seperti lazimnya diadakan pada setiap penganjuran sukan bertaraf mega. 

Keiltizaman yang dipamerkan MOM mungkin datang dari prospek pencapaian sukan. Harus diingat, kontingen Malaysia telah mencatat prestasi terbaik sepanjang penyertaan pada Sukan Komanwel pada edisi 1998 yang dianjurkan di tanah air. 

Dengan kutipan sebanyak 36 pingat, kontinjen Malaysia menduduki tempat keempat keseluruhan sekaligus mengatasi sasaran kutipan pingat ketika itu. 

Selain itu, penganjuran Sukan Komanwel di bumi bertuah ini pastinya mampu menjadi motivasi terbaik untuk atlet negara kerana berada di gelanggang sendiri dan didokong oleh sorakan penonton tempatan. 

Selain itu, penganjuran pertandingan berprestij seperti ini juga dapat membuka minat dan memberi pendedahan awal kepada rakyat tempatan untuk terus bergiat aktif dalam sukan. 

Ia juga diyakini dapat memberi tonik tambahan dan pengalaman dalam persiapan atlet negara menjelang Sukan Olimpik 2028. 

Tambahan pula, pemilihan tahun 2026 itu seiring dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 sekaligus menjadi pemangkin mengalakkan pelancong datang ke Malaysia dan merealisasikan sasaran Kerajaan Malaysia Madani.

Sekali imbas, seolahnya keputusan menolak penganjuran Sukan Komanwel 2026 ialah suatu kerugian buat Malaysia. Namun, perkara ini tidak boleh dilihat dari perspektif sukan semata-mata. 

Paling utama, keputusan penganjuran ini perlulah mencermati semula keutamaan dan kemampuan fiskal dan monetari negara. 

Harus diingat, ketika Malaysia kali pertama ditawarkan penganjuran Sukan Komanwel pada tahun 1998, kita telah membuat persiapan penganjuran enam tahun lebih awal. 

Tak cukup masa

Maka, segala simulasi kejohanan, lokaliti dan keselamatan telah disediakan secara tuntas. Kali ini, tempoh dua tahun tidak memungkinkan persiapan yang sama. 

Selain itu, seperti disebut menteri belia dan sukan sendiri, kita bahkan tidak punya cukup masa untuk menimbang apakah pulangan yang dapat dijana oleh penganjuran temasya mega ini.

Dari aspek pengurusan temasya, kita enggan Malaysia berakhir seperti mana penganjur edisi sebelumnya, Birmingham. Ini susulan pengumuman yang dibuat oleh Majlis Perbandaran Birmingham pada September 2023 bahawa mereka secara rasminya muflis kerana menanggung hutang yang sebahagian besarnya disumbang oleh keputusan mengutamakan Komanwel 2022. 

Penasihat Majlis Bandaran Birmingham mendakwa penganjuran Komanwel mencipta sebuah legasi bebanan kewangan jangka panjang.  Kini kebimbangan itu menjalar bukan hanya pada penduduk di Midlands Barat tetapi juga ke kawasan lain bawah pentadbiran Parti Buruh. 

Kegawatan ini turut dikritik Perdana Menteri Rishi Sunak yang mempertikaikan pengurusan kewangan pihak Birmingham. 

Harus diingat, sekitar setahun sebelum itu, penganalisis umumnya meramalkan “dekad emas” bakal bermula di Birmingham dengan penduduknya bergembira akan kehadiran atlet dan pelancong serta wang janaan yang membawa peluang pekerjaan jangka pendek di bandar mereka. 

Mereka menjangkakan yang terbaik khususnya kerana ia diadakan selepas tempoh pandemik dan diharap menjadi katalis pembangunan ekonomi di Midlands Barat. 

Kini, sebaliknya, mereka mula mempersoalkan kewajaran mengutamakan penganjuran sukan itu berbanding menjaga kebajikan rakyat. 

Benar, kegawatan ini bukanlah bermula di hari larian obor Komanwel dinyalakan, tetapi keputusan mengutamakan Komanwel jelas ibarat paku terakhir di keranda sebuah majlis perbandaran yang mempunyai 1.14 juta penduduk. 

Dengan Birmingham yang sudah muflis, apa nasib rakyatnya?

Selain itu, umum mengetahui Malaysia masih berdepan cabaran kenaikan harga barangan dan kos sara hidup. Adakah wajar diambil pula satu bahagian daripada peruntukan belanjawan negara untuk kesiapsiagaan Komanwel? 

Bagi Pesuruhjaya Sukan, Suhardi Alias, beliau percaya adalah lebih baik bajet untuk temasya itu dibelanjakan bagi meningkatkan pembangunan atlet dan ekosistem sukan negara dengan pengagihan kepada semua 103 persatuan sukan kebangsaan dan persatuan sukan paralimpik kebangsaan. 

Ini dirasakan sebagai pelaburan jangka panjang yang lebih berbaloi dan bersifat holistik berbanding pengkhususan kewangan hanya untuk satu temasya.

Gabungan faktor-faktor ini pastinya telah dipertimbangkan oleh kerajaan Malaysia dalam membuat keputusan muktamad menolak tawaran penganjuran. 

Walaupun ia kelihatan seperti sebuah peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan, sikap tegas kerajaan Malaysia dalam membuat keputusan sebegini menggambarkan kematangan dan sifat berhemah dengan mengutamakan perbelanjaan yang lebih utama. 

Keputusan ini tidak seharusnya dibaca dengan nada pesimis sebaliknya ia perlu dilihat dalam konteks lebih luas dalam pembinaan negara mengikut acuan Malaysia Madani.


AHMAD FAWWAZ MOHD NASARUDIN, PUTRI MARDHIYAH MUNATUL MAKNUN AHMAD MIZANUDIN dan SOFEA MARISA AFZAINIZAM adalah warga Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Sains, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS