Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Gagal selesai tungakan gaji: KDA FC berdepan tindakan lesen ditarik
Diterbitkan:  Apr 5, 2024 3:34 PM
Dikemaskini: 7:34 AM

Pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menerima padah apabila dikenakan hukuman pemotongan tiga mata saingan Liga Super musim 2024/2025 dan denda RM50,000 kerana kegagalan membuat penyelesaian penuh tunggakan gaji 2023.

Pengerusi badan bebas First Instance Body (FIB) Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata ia selepas pasukan itu didapati gagal mematuhi ketetapan syarat menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji berkenaan pada 30 Mac lepas.

"FIB mengambil maklum surat daripada KDA FC bertarikh 28 Mac berkaitan penyelesaian 50 peratus jumlah tunggakan gaji bagi 2023 serta surat persetujuan penjadualan pembayaran baki tunggakan gaji yang ditandatangani 75 peratus pemain dan pegawai terlibat bertarikh 29 Mac.

"Namun, ia masih tidak mematuhi peraturan ditetapkan iaitu penyelesaian penuh tunggakan bayaran gaji bagi 2023," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sheikh Mohd Nasir, hukuman terhadap KDA FC berkuat kuasa serta-merta semalam berdasarkan Perkara 2.4 (c) Peraturan Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Edisi 2023.

Beliau berkata sekiranya KDA FC gagal membuat pembayaran penuh tunggakan gaji tersebut atau mengemukakan bukti dokumen kewangan bagi menyelesaikan pembayaran pada 5 petang, 20 April depan, Lesen Kebangsaan pasukan itu boleh ditarik balik sekali gus tidak layak beraksi dalam saingan Liga Super 2024/2025.

Saingan Liga Super 2024/2025 bermula pada 10 Mei depan.

Sementara itu, FIB mengesahkan bahawa kelab Kuala Lumpur City FC (KL City) berjaya menyelesaikan pembayaran tunggakan gaji bagi 2023 sebelum tarikh akhir 30 Mac lepas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS