Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
ULASAN | FAM, apa jadi pada tiket Piala Dunia untuk kami?

ULASAN | Bola sepak merupakan sukan popular dengan berbilion peminat dari seluruh dunia. Kriket pula jatuh di tempat kedua dengan kebanyakannya peminatnya adalah warga negara Komanwel dan sub-benua India.

Setiap kali kejohanan besar diadakan, begitu ramai peminat dari seluruh dunia hadir untuk menonton bintang kegemaran mereka beraksi.

Penganjur dan persatuan berusaha menampung permintaan yang tinggi dan memastikan peminat, walaupun dari negara-negara terkecil dan terpencil, berpeluang mendapatkan tiket tanpa perlu membayar wang yang besar kepada penjual tiket haram.

Badan yang menguruskan bola sepak, iaitu Fifa memperuntukkan tiket Piala Dunia kepada kesemua 211 negara anggotanya. Terbaru, ia diadakan di Qatar pada dua tahun lalu.

Tiket-tiket ini untuk dijual kepada peminat di setiap negara anggota dan jumlahnya berbeza bergantung kepada pelbagai faktor, termasuk jika negara tersebut layak untuk peringkat akhir kejohanan.

Malaysia adalah antara negara yang menerima tiket tetapi peminat tempatan tidak pernah melihat tiket-tiket ini.

Sebaliknya, mereka perlu membelinya secara dalam talian atau dari rakan-rakan di negara lain yang mempunyai menerima jumlah tiket lebih besar atau di pasaran haram.

Malaysia diperuntukkan sekurang-kurangnya 250 tiket tetapi England - negara yang layak ke pusingan akhir - mendapat tiket yang lebih banyak.

Seorang peminat Malaysia yang mendengar tentang perkara ini menghantar mesej kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mendapatkan tiket tetapi tidak menerima jawapan.

Bagaimana tiket yang diberikan kepada FAM diagihkan kepada peminat di Malaysia masih menjadi misteri dan tiada siapa yang ingin beri penjelasan.

Saya telah cuba mendapatkan penjelasan daripada FAM tentang bagaimana dan kepada siapa tiket-tiket tersebut dijual sejak tiga bulan lalu.

Ia adalah satu pertanyaan yang mudah kepada Setiausaha FAM Noor Azman Rahman: “Saya faham yang kelaziman dan dasar Fifa adalah untuk mengagihkan tiket Piala Dunia kepada kesemua 211 anggotanya, termasuklah FAM.

“Dalam konteks ini, saya ingin tahu berapa banyak tiket yang diperuntukkan kepada FAM untuk kejohanan 2022 di Qatar dan jika tiket tersebut dibuka untuk dibeli oleh peminat bola sepak Malaysia.

“Jika ya, saya ingin bertanya, bagaimana ia dijalankan? Adakah ada pengumuman awam dan sebagainya?"

Pertanyaan tidak dijawab

Azman tidak memberikan sebarang jawapan dan memilih untuk berdiam diri setelah beberapa mesej dan peringatan dihantar, walaupun pada awalnya dia berkata akan memberi respons.

Mesej pertama adalah pada 28 Januari dan maklum balas segera yang diterima adalah: “Saya akan sediakan jawapan."

Itulah responsnya yang terakhir. Peringatan berterusan telah dihantar melalui WhatsApp, terakhir pada hari Isnin, namun tiada jawapan yang diberikan.

Malaysiakini juga telah menghubungi FAM untuk mendapatkan komen tetapi belum menerima apa-apa jawapan.

Apa yang masalah sangat tentang 250 tiket ini? Ia berbalik kepada integriti dan kejujuran kalangan yang memegang jawatan dalam perbadanan sukan di setiap negara.

Dalam buku Foul!, wartawan siasatan terkenal Andrew Jennings menggariskan bagaimana pegawai-pegawai bola sepak mengisi poket mereka dengan menjual semula tiket yang diperuntukkan kepada ejen pelancongan terpilih.

Pada 2015, dalam apa yang disifatkan sebagai skandal sukan terbesar pada waktu itu, pihak berkuasa Switzerland menangkap sejumlah pegawai atas tuduhan rasuah di Zurich dan memulakan prosiding jenayah berhubung hak penyiaran dan pemasaran Piala Dunia 2018 dan 2022.

Dalam serbuan di ibu pejabat Fifa, pihak berkuasa Switzerland telah merampas "dokumen dan data elektronik". Dokumen bank pula telah dikumpulkan dari pelbagai institusi kewangan Switzerland sebelum itu.

Penangkapan dibuat bagi pihak pihak berkuasa Amerika Syarikat setelah siasatan FBI yang berjalan sekurang-kurangnya tiga tahun. Jabatan Keadilan Amerika Syarikat mendakwa 14 orang termasuk sembilan eksekutif Fifa dan bekas eksekutif Fifa.

Presiden Fifa Sepp Blatter dan Presiden Uefa Michel Platini digantung tugas, selaras dengan syor yang dibuat jawatankuasa etika Fifa. Turut digantung adalah bekas naib presiden Fifa Chung Mong-joon.

Siasatan selepas itu membawa kepada pertuduhan terhadap beberapa pegawai – yang paling menonjol antaranya adalah Jack Warner, iaitu presiden Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (Concacaf) dan ahli jawatankuasa eksekutif Fifa.

Warner dikatakan mengambil semua tiket yang diperuntukkan kepada Concacaf dan memberikannya kepada anaknya, yang menjual pakej pelancongan Piala Dunia dari Caribbean.

Jack Warner

Warner menolak ekstradisi tetapi dua anak lelakinya - yang memiliki dua kewarganegaraan - ditangkap di Amerika Syarikat dan membuat rundingan pengakuan bersalah dan mendedahkan maklumat berkenaan kes itu.

Apa kaitan peristiwa-peristiwa ini dengan FAM dan bola sepak tempatan?

Di sebalik kekayaannya, FAM sebahagiannya didanai wang rakyat. Malah pada Januari lalu, FAM menerima geran berjumlah RM5 juta daripada kerajaan.

Ketika mengumumkan peruntukan itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan setuju memberikan peruntukan khas RM5 juta kepada FAM untuk menguruskan pasukan bola sepak kebangsaan, susulan permintaan yang dibuat menteri belia dan sukan.

Saya bukannya cuba menyatakan FAM dan para pegawainya membuat salah laku tetapi ada tanggungjawab yang besar untuk mempersoalkan segala tindakan, dan juga ketidakgiatan, mereka.

Saya juga tidak menyatakan berlakunya kegiatan seperti yang dibuat Warner, di mana tiket akhirnya jatuh ke tangan ejen pelancongan atau kroni untuk dijadikan pakej pelancongan.

FAM bukanlah perusahaan keluarga di mana butirannya hanya didedahkan kepada ahli-ahli yang terpilih.

Ia merupakan badan awam yang diberi kepercayaan untuk menguruskan bola sepak negara dan menjadi tanggungjawab mereka untuk sekurang-kurangnya menjelaskan misteri kehilangan tiket tersebut.

Dalam pentadbiran sukan, ketelusan adalah penting dan ia adalah prinsip yang kerap ditegaskan dalam kod urus tadbir yang baik bagi organisasi sukan kebangsaan mahupun antarabangsa.

Ia sepatutnya digunakan sebagai alat utama untuk menilai pentadbiran organisasi sukan oleh Kementerian Belia dan Sukan dan badan-badan berkaitan yang lain.

Saya tidak meminta butiran gaji dan elaun yang diterima pegawai FAM. Apa yang saya ingin tahu hanyalah apa jadi pada tiket yang diperuntukkan kepada kita.


R NADESWARAN adalah wartawan veteran yang menulis mengenai isu-isu semasa. Komen: [email protected].

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS