Penyerang kebangsaan yang juga pemain Selangor, Faisal Halim menguatkan semangat untuk membuat penampilan pertama selepas sebulan dirawat susulan insiden disimbah asid pada 5 Mei lalu.
Melangkah masuk ke ruang sidang media, Faisal dikawal ketat termasuk media juga hanya dibenar meninggalkan lokasi selepas pemain lincah itu bergerak pulang atas faktor keselamatan.
Faisal kesihatan sugul dan sebak, malah menitiskan air mata beberapa kali ketika sidang media mengenangkan nasib yang menimpanya.

Lengan sebelah kiri Faisal dilihat masih berparut dan menggerutu susulan pembedahan yang terpaksa dijalaninya ekoran insiden itu.
Begitu juga dengan sebahagian muka dan kepalanya yang masih berkuping besar.
Bagaimanapun dia yang turut digelar FH7—kerana sering memakai jersi nombor 7—dilihat bersemangat untuk bangkit kembali.
"Saya ingin ke arah turun belatih, saya ditempatkan di lokasi rahsia, sampai bila saya hendak menyorok? Saya bagi tahu Datuk (pengurusan kelab) saya sedia untuk muncul (di khalayak).
"Saya ingin jalani kehidupan separti manusia normal, saya harap dapat kembali dalam bola sepak secepat mungkin," katanya dalam sidang media.
Faisal kini sedang menjalani proses pemulihan dan yakin dapat kembali beraksi semula sedikit masa lagi.

Pada 5 Mei lalu, pemain Selangor FC itu disimbah asid oleh individu tidak dikenali dalam kejadian di sebuah pusat membeli-belah di Damansara.
Mengulas lanjut Faisal berkata, selain keluarga, sokongan rakyat Malaysia memberikannya kekuatan untuk kembali bermain bola.
Faisal mengakui dia kini tidak sabar untuk turun ke padang, namun akur perlu melalui proses pemulihan dan perlu disahkan oleh doktor bahawa dia benar-benar pulih.
Dia turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengadakan solat hajat dan doa selamat buatnya.
"Paling awal tiga bulan, paling lama enam bulan (untuk kembali berlatih). Perkembangan pemulihan begitu cepat, saya rasa ramai orang (khususnya) umat Islam di Malaysia buat baca Yassin, doa selamat dan solat hajat, di situ buatkan saya semangat
"Pada coach Kim (Pan-gon) yang simpati kepada saya, datang melawat saya, beri saya semangat, nak saya kembali, dia tak nak saya berhenti main bola, dia tak nak hilang Mickey," katanya lagi.
