Ketua Kontinjen (CDM) Olimpik Malaysia Hamidin Mohd Amin tampil mempertahankan rekaan pakaian rasmi negara ke Sukan Olimpik 2024, susulan kritikan hebat orang ramai sejak ia dilancarkan pada Ahad lalu.
Hamidin berkata, rekaan yang cantik tidak membawa sebarang makna jika Malaysia gagal membawa pingat emas sulung dalam temasya kali ini.
Berkenaan warna emas yang digunakan berbanding jingga sebelum ini, dia berkata ia untuk membawa aura pingat tersebut yang sekian lama menjadi buruan negara.
"Kita sudah setuju dengan Yonex (pengeluar pakaian rasmi) untuk tunjuk warna emas…warna jingga sudah lama sejak 2004 lagi, jadi ramai atlet sebelum ini minta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk tukar warna lain.
"MOM sudah sepakat dengan Yonex untuk tukar kepada warna emas kerana kita menyasarkan untuk menang pingat emas, itu sebenarnya tema dan Yonex juga berpendapat warna emas padan dengan warna hitam.
"...Jika warna cantik tapi tidak dapat emas atau pingat tidak guna juga," katanya seperti dipetik Bernama, hari ini.

Sejak dilancarkan Ahad lalu, rekaan pakaian tersebut tidak henti menerima kecaman netizan dengan ramai berpandangan rekaan tersebut sebagai buruk, memalukan dan tidak melambangkan identiti negara, apatah lagi untuk dibawa temasya itu.
Tidak sedikit juga yang mengkritik Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta menggesa kementerian itu mengambil tanggungjawab atas perkara itu.
“Pencapaian anda (Hannah Yeoh) sebagai menteri untuk edisi Sukan Olimpik Musim Panas 2024 ini sangat memalukan.
“Sila lakukan lebih baik. Ini Sukan Olimpik, bukan sukan sekolah rendah,” kata seorang netizen di X.

Tidak kurang juga menyuarakan kritikan bernada sindiran pedas, antaranya menyifatkan pakaian itu hasil rekaan pelajar praktikal serta "harimau yang sudah pupus", merujuk tema belang yang sinonim dengan skuad negara.
"Olimpik seterusnya, kita akan bertemakan Oyen rasanya,” kata @IniAlalalannn di X.
Selain kritikan dan sindiran, ada juga yang berkongsi rekaan mereka sendiri, selain rekaan hasil kecerdasan buatan (AI).

'Jalur Gemilang' warna emas
Antara aspek yang mengundang kritikan adalah imej seakan bendera Malaysia pada pakaian tersebut, yang ditukar kepada warna keeamasan.
Langkah itu mengundang rasa kurang senang, dengan rata-rata berpandangan ia sesuatu yang tidak perlu dilakukan walaupun sebagai simbolik pencarian emas Olimpik yang pertama negara.
Namun, Hamidin yang juga timbalan presiden MOM menjelaskan imej tersebut bukanlah Jalur Gemilang seperti tanggapan ramai orang, sebaliknya logo rasmi MOM.
"Warna jingga, emas, hitam biru semua boleh, ini logo Majlis Olimpik Malaysia bukan bendera Malaysia, jadi tiada masalah," katanya.
Hamidin malah berkata bagi Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat, pihaknya mungkin membuka peluang kepada orang ramai untuk mereka pakaian rasmi kontinjen negara.
"Saya sudah hubungi Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan pada dasarnya beliau sudah setuju masa akan datang, kita buka pada peminat untuk reka (pakaian rasmi kontinjen), kita akan pilih dan mungkin beri sagu hati," katanya seperti dipetik.

Menjawab kritikan ramai semalam, Yeoh berkata pakaian rasmi kontinjen negara di bawah tanggungjawab Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dengan kerjasama Yonex.
“Ini merupakan hasil kerjasama antara Yonex (Yonex Sunrise sebagai penaja rasmi) dan MOM dan ia di luar bidang kuasa KBS, Majlis Sukan Negara (MSN),” katanya di X.
Setiausaha Agung MOM Mohd Nazifuddin Najib pula mempertahankan rekaan itu, dengan berkata ia berdasarkan konsep terkini, selain dengan mengambil kira beberapa faktor, seperti kos yang dikeluarkan penaja.
"Sebenarnya kita tertakluk kepada apa yang penaja boleh berikan dalam keadaan pengehadan tertentu dan ia (juga) bergantung dengan bajet. Kalau nak terbaik atau premium, itu menjadi faktor kos kepada penaja jadi ia perlu dipertimbangkan.
"Ini bukan peruntukan daripada kerajaan atau wang daripada siapa-siapa, tetapi ihsan daripada penaja," katanya kepada Berita Harian semalam.
