Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Syed Saddiq nafi rampas hak orang lain di Desaru
Diterbitkan:  Jul 10, 2024 11:07 AM
Dikemaskini: 3:07 AM

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertahankan dirinya selepas mendapat kedudukan podium dalam acara triatlon baru-baru ini.

Ia menjadi perhatian selepas ada pihak membangkitkan kebenaran atau kelayakan bekas menteri terbabit memperoleh kedudukan tersebut.

Dalam video yang disiarkan di media sosialnya, bekas Presiden Muda itu juga menegaskan dia sudah memberi penjelasan beberapa kali kepada pasukan teknikal acara 113 Triatlon Desaru 2024 yang berlangsung pada 6 dan 7 Julai lalu untuk mengelakkan ada sebarang isu mengenainya timbul.

Ia menjadi perhatian ramai apabila Syed Saddiq berkongsi gambar penyertaannya dalam perlumbaan 131km tersebut - melibatkan renang sejauh 2.25km, berbasikan 90km, dan larian sejauh 21.1km larian.

Dia melahirkan rasa bangga kerana dapat menamatkan keseluruhan acara berkenaan selama 5.44 jam.

"Termuntah dua kali tetapi berasa lebih baik selepas itu. Masa untuk serius berehat seketika," tulisnya di Instagram.

Kenyataan itu mendorong seorang netizen mempersoalkan dakwaan Syed Saddiq kerana dia mendakwa ahli politik terbabit berada di belakangnya semasa perlumbaan berkenaan.

"Dan kamu tidak pernah memotong saya semasa kayuhan basikal, namun ketika dalam pelarian awak sudah berada di hadapan saya. Macam mana jadi begitu?

“Jelas sekali kamu melengkapkan basikal dengan hanya dua pusingan (60km) dan tidak melengkapkan keseluruhan tiga pusingan sejauh 90km,” dakwa pengguna Instagram yang menggunakan nama Joshua Izham.

Pengguna itu juga mempersoalkan lagi bagaimana Syed Saddiq berjaya menamatkan kayuhan basikal itu dalam tempoh 2.37 jam sedangkan dia melakukannya dalam tempoh 3.31 jam pada dua bulan lalu.

Dia seterusnya menuduh Syed Saddiq "merampas" tempat ketiga podium milik seorang atlet yang "sangat layak."

Sementara itu dalam hantaran video selepas itu, Syed Saddiq menegaskan tidak mungkin dia menipu kerana dia memakai gelang buku lali di sepanjang perlumbaan yang merekodkan masa peserta melepasi setiap pusat pemeriksaan.

Bekas Ketua Pemuda Bersatu itu turut menjelaskan, dia menyemak beberapa kali dengan pasukan teknikal perlumbaan apabila menyedari dia menamatkan perlumbaan lebih awal daripada jangkaan untuk memastikan semuanya mengikut peraturan.

Perjalanan ubah hidup

Mengulas perbezaan masa pada perlumbaan basikal, Syed Saddiq berkata dia menamatkan perlumbaan dua bulan lalu dengan hanya tidur empat jam, mengalami kekejangan perut dan dikenakan penalti masa ketika perlumbaan.

Syed Saddiq seterusnya menolak dakwaan dia merampas tempat atlet yang layak mendapat tempat ketiga dan menegaskan kerana bimbangkan keadaan itulah dia menyemak masanya beberapa kali dengan penganjur.

“Perkara terakhir yang saya mahu ialah berlakunya ketidakadilan,” katanya.

Syed Saddiq menegaskan keputusannya menyertai triatlon bukan untuk memenangi pingat atau trofi, tetapi untuk kesihatan mental dan peningkatan diri.

“Daripada menjadi seseorang yang baru dalam komuniti triatlon hingga menamatkan perlumbaan 113km/separuh jarak ketiga saya, ia benar-benar satu perjalanan yang mengubah hidup saya.

"Perkara terakhir yang saya mahu adalah untuk menyakiti komuniti yang hebat ini.

“Saya benar-benar memohon maaf jika tindakan saya menyebabkan sebarang isu dan saya benar-benar mahu ingin menyelesaikan perkara ini," katanya.

Untuk rekod, baru-baru ini Syed Saddiq menamatkan larian dari Muar, Johor ke bangunan parlimen di Kuala Lumpur dengan jarak 200km bagi mengumpul dana bagi kawasannya.

Dia berjaya mendapat RM160,000 hasil sumbangan orang ramai bagi larian bermula pada 28 Jun hingga 1 Julai lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS