Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Pejabat diraja pertahan penganjuran Piala Sultan Selangor 
Diterbitkan:  Aug 20, 2024 6:19 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

Di sebalik kritikan, Pejabat Diraja Selangor mempertahankan penganjuran Piala Sultan Selangor antara pasukan Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura.

Katanya, penjelasan itu dibuat untuk memberi fakta tepat kepada generasi baru yang masih belum faham atau dimomokkan dengan informasi mengelirukan tentang sejarah piala itu.

Menurut pejabat itu juga, semangat piala itu juga diharap dijadikan teladan dalam membanteras gejala keganasan sukan.

“Kepada yang cakna dan faham sejarah, mereka akan mengerti rasional di sebalik penganjuran dan turut sama meraikan Piala Sultan Selangor sebagai sebuah acara berprestij yang menyemarakkan semangat persahabatan dalam sukan.

“Selain mengembalikan nostalgia, penganjuran Piala Sultan Selangor adalah antara acara yang dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak tempatan yang merindui zaman kegemilangan bola sepak Malaysia,” kata pejabat itu.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, kenyataan itu dipercayai menjawab komen pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim di portal sukan MakanBola yang menyifatkan pertandingan itu sebagai kes kronik syok sendiri.

Baginda menegaskan hanya juara Liga Super dan Piala FA yang layak mewakili negara bertanding di peringkat antarabangsa.

Sementara trofi yang diiktiraf Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hanya Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, Piala Sumbangsih dan saingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Kalau buat piala syok sendiri dan raikan macam menang piala rasmi, saya akan buat Piala Daddy, dan Piala Cap Susu mulai tahun depan.

“Pasukan lawan kena cari yang lemah-lemah. Yang pelik takda perasaan malu. Kes kronik syok sendiri,” tulis Tunku Ismail.

Skuad The Red Giants memenangi Piala Sultan Selangor pada Sabtu lalu selepas menewaskan Pilihan Singapura 2-1, sekali gus menyaksikan mereka melakar hatrik trofi pada musim ini.

Sementara itu, Pejabat Diraja Selangor juga berkongsi bahawa idea penganjuran kejohanan itu dicetuskan sendiri oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2001, tahun yang sama baginda ditabalkan.

Malayan El Clàsico’

Selangor dan Singapura merupakan dua pasukan paling berjaya dalam sejarah Liga Malaysia dan Piala Malaysia sejak diperkenalkan pada 1921, dengan kedua-dua pasukan bertemu sebanyak 23 kali dalam perlawanan akhir.

Katanya, dalam tempoh itu, Selangor menjulang 33 kejuaraan Piala Malaysia, kali terakhir pada 2015.

Singapura menang 22 kali sehinggalah pasukan itu menarik diri dari Liga Malaysia pada 1994.

Justeru, kata pejabat itu, pertembungan antara Selangor dan Singapura sentiasa dinantikan sehingga digelar sebagai Malayan El Clàsico, dengan kedua-dua musuh tradisi itu menampilkan persaingan sihat dan saling hormat-menghormati.

Tidak seperti kejohanan lain, Piala Sultan Selangor adalah eksklusif untuk perlawanan utama antara Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura, selain turut diadakan perlawanan persahabatan bersifat pertunjukan antara Veteran Selangor bertemu Veteran Singapura.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS