Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
ULASAN | E-dompet: Perkhidmatan, ancaman dan keselamatan siber

ULASAN | Perkembangan ekonomi di Malaysia yang pesat serta peningkatan populasi yang mahir teknologi telah menyebabkan e-dompet menjadi kaedah pembayaran yang semakin popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

E-dompet, juga dikenali sebagai dompet digital, ialah akaun maya yang membolehkan pengguna membuat pembayaran untuk barangan dan perkhidmatan dalam talian atau dalam kedai, tanpa memerlukan wang tunai atau kad fizikal. Dengan peningkatan e-dagang, perbankan mudah alih dan pembayaran tanpa sentuh, e-dompet telah muncul sebagai cara yang mudah dan selamat untuk mengurus transaksi wang.

Di Malaysia, terdapat beberapa penyedia e-dompet yang memenuhi keperluan pengguna yang berbeza dan masing-masing mempunyai ciri dan faedah uniknya.

Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyatakan bahawa pendigitalan perkhidmatan kewangan meningkat mendadak pada tahun 2019 dan 2020, seiring dengan peralihan ke arah perkhidmatan kewangan dalam talian.

Urus niaga perbankan dalam talian telah berkembang sebanyak 49 peratus kepada 2.5 bilion transaksi daripada 1.7 bilion transaksi. Pada masa sama, transaksi e-dompet melonjak sebanyak 131 peratus kepada kira-kira 600 juta.

Sementara itu, menurut laporan Fintech News Malaysia, terdapat lebih daripada 53 penyedia perkhidmatan e-dompet di Malaysia. Tambahan pula, di Malaysia, e-Dompet seperti GrabPay, Boost dan Touch’n Go kekal sebagai sebahagian daripada aplikasi e-dompet pilihan sebagai faedah tanpa tunai dan tanpa sentuh bagi e-dompet.

Faktor-faktor pemilihan e-dompet oleh pengguna kebiasaannya bergantung kepada bilangan pengguna. Jika bilangan pengguna berdaftar, pengguna aktif dan kadar pertumbuhan pengguna boleh menjadi penunjuk utama populariti e-dompet tersebut dan berkemungkinan menjadi pilihan pengguna.

Selain itu, penerimaan peniaga dan sejauh mana e-dompet diterima oleh pelbagai jenis peniaga, perniagaan dan perkhidmatan di Malaysia. Kemudahan penggunaan juga memberi impak kepada pemilihan penyedia perkhidmatan e-dompet seperti antara muka pengguna, kebolehcapaian dan kemudahan transaksi memainkan peranan penting dalam menarik dan mengekalkan pengguna.

Ciri utama sesuatu perkhidamatan digital adalah berkaitan keselamatan dan kebolehpercayaan. Pengguna menghargai e-dompet yang menyediakan ciri keselamatan yang kukuh, melindungi maklumat kewangan mereka dan dianggap sebagai platform yang boleh dipercayai dan telus.

Keserasian e-dompet dengan sistem pengendalian yang berbeza, peranti dan tahap integrasinya dengan bank, gerbang pembayaran atau perkhidmatan pihak ketiga juga menjadikan penyedia e-dompet menjadi pilihan pelanggan.

Perkhidmatan dan sokongan pelanggan yang baik yang diberikan oleh penyedia perkhidmatan e-dompet akan menunjukkan ketersediaan kepada perkhidmatan pelanggan, sumber sokongan dan responsif syarikat terhadap pertanyaan atau kebimbangan pelanggan. Faktor ini juga menjadi pilihan utama bakal pelanggan e-dompet.

Risiko penggunaan e-dompet

Terdapat beberapa ancaman berhubung perkhidmatan transaksi kewangan dalam talian termasuk perbankan dalam talian dan e-dagang. Pengguna amat bimbang jika menjadi mangsa pencerobohan seperti penipuan dalam talian, akaun pengguna yang digodam dan insiden lain yang menjejaskan ekonomi digital dan transaksi elektronik.

Bentuk serangan yang melibatkan pengubahan arahan direka bentuk untuk menjejaskan keupayaan sistem pengendalian dalam melaksanakan arahan kod asal.

Kehadiran ancaman pencerobohan maklumat dan akses tanpa kebenaran mewujudkan kelemahan yang boleh dieksploitasi dalam operasi aplikasi e-dompet.

Kerentanan dalam perisian e-dompet itu sendiri juga mungkin memberikan ruang untuk penggodam menembusi e-dompet tersebut. Kejadian ancaman langsung dalam e-dompet, iaitu yang berkaitan dengan gangguan keselamatan kawalan akses, berkaitan dengan kompromi cap jari atau data muka pengguna berpotensi untuk menjadi ancaman. Data biometrik juga terdedah kepada serangan menggunakan kaedah kontemporari disebabkan oleh persekitaran digital, yang meletakkan salah satu teras kawalan capaian berisiko.

Peranti yang digunakan untuk memasang aplikasi terdedah kepada dieksploitasi sebagai cara untuk menjejaskan keselamatan aplikasi. Dengan kemajuan teknologi terkini, terdapat risiko untuk kecurian data melalui penggunaan “air-gap attack techniques”. Dengan mengubah aktiviti melalui perantara dalam komponen peranti pengguna, penyerang memanfaatkan teknologi capaian jauh untuk menyasarkan peranti.

Ini kerana transaksi data melalui telefon pintar memerlukan strategi yang ideal dan penggunaan banyak modaliti penghantaran, termasuk frekuensi radio, komunikasi tanpa wayar, teknologi inframerah dan sambungan Bluetooth.

Pelbagai strategi dan usaha telah diambil untuk menggalakkan penggunaan teknologi digital yang meluas dalam kehidupan seharian, dengan penekanan khusus pada penggunaan e-dompet sebagai cara pembayaran.

Bagaimanapun, terdapat komuniti tertentu yang masih belum menggunakan kaedah yang bertujuan untuk mengenal pasti potensi ancaman yang mungkin menimbulkan risiko kepada usaha peningkatan ekonomi.

Pentingnya kenal pasti risiko

Walaupun langkah keselamatan dipertingkatkan yang dilaksanakan oleh penyedia aplikasi e-dompet, potensi penipuan kewangan masih menjadi kebimbangan. Kehadiran manipulasi dalam aktiviti ekonomi digital adalah fenomena yang berterusan.

Bagaimanapun, adalah penting untuk memahami pentingnya mengenal pasti risiko dan melaksanakan langkah kawalan yang sesuai untuk memastikan penggunaan teknologi ekonomi digital yang selamat.

Integrasi e-dompet sebagai kaedah pembayaran elektronik dianggap sebagai pengganti yang berdaya saing untuk mempromosikan ‘masyarakat tanpa tunai’. Peluasan interaksi perniagaan yang melibatkan ekonomi digital telah memasuki lembaran baru melalui kemajuan transaksi elektronik yang dilaksanakan melalui telefon pintar.

Peralihan masyarakat kepada fasa yang lebih relevan dari segi teknologi didorong terutamanya oleh sokongan proaktif kerajaan dan sektor swasta melalui pembangunan dan pengeluaran aplikasi berintegrasi elektronik dalam peningkatan nilai komersial.

Penggunaan e-dompet secara beransur-ansur mengubah landskap transaksi kewangan, membawa kepada peralihan daripada kaedah pembayaran tradisional seperti kad kredit/debit dan perkhidmatan perbankan Internet.

Lebih banyak syarikat e-dompet kini berada di pasaran, dan mereka menawarkan tahap kemudahan yang sama seperti institusi perbankan semasa beroperasi sepenuhnya.


DR NOOR ZURAIDIN MOHD SAFAR adalah pensyarah kanan Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Tulisan ini tidak semestinya pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS