Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perang di Timur Tengah hari ini semuanya bermula dengan ledakan WTC pada 9/11. Ini kenyataan salah. Semuanya bermula dengan perang Iraq. Ini juga kenyataan salah. Semuanya bermula dengan Iran. Ini juga salah. Semuanya bermula dengan Zionis Israel. Ini juga salah. Semuanya bermula dengan Saddam dan Gaddafi. Ini juga salah. Semuanya bermula dengan pertelingkahan Sunni dan Syiah. Ini juga tak betul. Semuanya bermula dengan CIA dan KGB. Dengan MI6? Ini juga salah.

Jika semua salah, jika semua tak betul, apa puncanya perang yang sedang melanda Timur Tengah hari ini?

Biar saya nyatakan di sini, perang dan pergolakan politik dunia hari ini semuanya berpunca daripada petrol – bahan bakar petroleum. Minyak petrol telah menjadi punca perang dunia kedua. Dan kini perang dunia bahagian ke-2 juga disebabkan oleh minyak petrol. Pergolakan politik dunia hari ini adalah pergolakan pengeluaran bahan bakar petroleum.

Saya telah banyak menulis tentang teori peak oil atau puncak minyak. Saya juga telah cuba membawa pencerahan tentang peranan minyak dalam tamadun manusia moden. Semua ini saya lakukan dengan harapan para pembaca akan memiliki latar untuk memahami apa yang sedang berlaku dalam dunia hari ini.

Memahami apa yang sedang berlaku di hadapan mata kita semua.

Sayugia diingatkan bahawa dunia hari ini amat jauh bezanya dari dunia arwah ibu dan ayah saya. Malah dunia hari ini amat jauh bezanya dari dunia yang saya lalui ketika saya membesar di sekolah rendah hingga ke universiti.

Dalam masa yang amat singkat Malaysia telah mengalami perubahan mendadak. Dalam masa yang singkat dunia telah berubah. Perubahan mendadak ini berlaku kerana wujudnya bahan bakar petroleum. Semenanjung Malaysia mula menjadi pengeluar minyak pada tahun 1974. Asas ekonomi Malaysia mula beralih.

Dari getah dan bijih, kini dengan duit modal minyak, Malaysia mula membina infrastruktur untuk menjemput pemodal luar. Tanpa bahan bakar minyak Malaysia pasti bukan Malaysia yang kita hadapi hari ini.

Dunia hari ini adalah dunia petroleum. Asas dunia hari ini ialah minyak. Tanpa minyak dunia hari ini akan terhenti dan tidak bergerak. Terhenti dan tidak bergerak? Betul, apabila minyak habis maka dunia ini akan terhenti. Tamadun kita hari ini akan terhenti.

Tamadun kita hari ini ialah tamadun minyak. Dunia hari ini bergerak kerana wujudnya minyak. Tamadun minyak ini bergerak melalui satu sistem ekonomi yang dipanggil sistem ekonomi kapitalis. Daripada tamadun minyak dan sistem ekonomi kapitalis ini muncul budaya, nilai, politik dan negara bangsa. Umat manusia hari – anak semua bangsa - semuanya adalah umat minyak.

Persoalan muncul berapa lama agaknya minyak akan terus mengalir dari perut bumi? Berapa lama lagi bahan bakar ini akan terus dapat menjana dan membakar agar sistem kapitalis ini terus bergerak?

Salah satu jawapan datang dari peak oil theory atau teori puncak minyak. Teori ini telah cuba menjawab soalan ini. Teori ini secara ilmiah dan berdasarkan fakta telah meramalkan kehabisan minyak dalam dunia ini. Apabila minyak habis maka tamadun minyak yang berumur kurang lebih 150 tahun ini akan terhenti dan runtuh.

Mengikut teori ini kita telah melintasi puncak dan sedang memasuki zaman meleset. Ini bermakna dari hari ke hari bahan bakar minyak petroleum akan berkurangan. Permintaan makin bertambah. Ekonomi kapitalis bergantung kepada pengeluaran dan permintaan. Perusahaan dan kilang memerlukan bahan bakar minyak untuk bergerak. Permintaan untuk minyak bertambah manakala pengeluaran minyak makin berkurangan. Harga minyak tidak menentu dan semakin mahal.

Jika minyak menjadi begitu mahal dan pengeluaran berkurangan maka tamadun kita akan runtuh. Keruntuhan tamadun bukan satu yang baru. Dari kajian arkeologi kita membaca bagaimana tamadun Inca berkembang dan runtuh di Amerika Latin. Kita juga membaca bagaimana tamadun Lembah Ganges berkembang dan runtuh di India. Kita juga membaca bagaimana tamadun Mesir kuno maju dan runtuh. Malah dalam kita-kitab suci agama-agama ada kesah dan surah tentang tamadun kuno yang telah runtuh.

Al-Quran ada menyebut tamadun Aad dan Thamud untuk dijadikan pengajaran.

Apa yang saya lakarkan di sini bukan satu dogeng. Fakta-fakta telah membuktikan bahawa bahan bakar petroleum ini akan habis. Minyak adalah sumber asli – mengalir keluar dari perut bumi. Minyak bukan macam getah atau sawit yang boleh ditanam untuk dituai. Lima leter minyak yang dibakar bermakna minyak dunia berkurangan sebanyak lima liter. Minyak yang telah dibakar tidak dapat ditokok tambah.

Dari data resmi International Energy Agency tahun 2011, dunia telah membakar 89 juta tong minyak sehari. Satu tong ialah 156 liter. Dalam setahun dunia membakar 32 bilion tong setahun. Ini data tahun 2011. Tahun 2014 pasti bertambah.

Fakta minyak semakin berkurangan ini diketahui oleh Obama, diketahui oleh Putin, di ketahui oleh pemodal antarabangsa, diketahui oleh CIA, diketahui oleh perancangan dasar Rumah Putih dan juga perancang dasar untuk Kremlin. Fakta ini juga diketahui oleh Beijing dan Parti Komunis China. Malah Najib Razak empat tahun dahulu pernah berkata bahawa pada tahun 2016 Malaysia juga akan kekeringan minyak.

Perang Dunia Kedua telah membuktikan bagaimana Hitler telah cuba masuk ke Afrika untuk menawan telaga minyak di Mesir. Bahan bakar petroleum adalah asas utama penggerak sistem ekonomi kapitalis hari ini. Tanpa minyak maka sistem ekonomi kapitalis ini akan runtuh. Bibit-bibit keruntuhan ini semakin jelas dapat dilihat. Krisis kewangan yang bermula pada September 2008 telah melanggar dunia kapitalis masih menggelodak. Sistem kapitalis kelihatan rebah bangun. Harga minyak naik dan turun. Setiap kali ianya bangun sistem ini semakin lembik dan rapuh.

Justeru para pemikir, para perancang dan panglima perang penyokong tegar sistem ekonomi kapitalis berkumpul berfikir dan merancang. Kaum imperialis Anglo-Amerika menyedari perkara ini. Mereka melahirkan strategi untuk memastikan diri mereka selamat dari ledakan kekeringan bahan bakar petroleum.

Strategi ini ialah mengepong dan menawan semua telaga-telaga minyak mentah dalam dunia ini. Ini adalah prinsip asas perancangan ini. Selainnya hanya mekanisme dan taktik untuk memastikan telaga minyak ini akan dapat mereka miliki.

Justeru, Islam, Sunni, Syiah, Arab, Parsi, Kurdish, Boko Haram, al-Qaeda, KMM, Al-Nusra, Mujahiden termasuk ISIS hanyalah projek sampingan. Semua ini adalah pecahan dari projek induk untuk memastikan bahan bakar petroleum ini jatuh ke tangan kuasa imperial Anglo-Amerika.

Project for New American Century (PNAC) – Alaf Baru untuk Amerika - telah difikirkan, dirancang dan ditulis. Projek PNAC ini sedang dijalankan satu persatu. Projek ini berpayung di bawah projek induk untuk mewujudkan New World Order atau tata baru dunia. Peraturan baru dunia di mana semua umat manusia ini akan dikawal dan menjadi hamba kepada kuasa imperial Anglo-Amerika.

Mungkin ada yang menganggap tulisan ini agak susah untuk dipercayai. Atau kurang diyakini. Saya menyedari perkara ini kerana apa yang saya cuba paparkan di sini ialah gambaran besar ( the big picture) . Saya melukis hutan belantara yang penuh dengan duri dan ranjau. Saya tidak berkisah tentang kayu jati atau meranti. Melihat sebatang kayu lebih senang dari melihat hutan. Tetapi batang-batang kayu inilah yang menjadikan hutan.

Maka ISIS, al-Qaeda atau al-Nusra hanyalah batang-batang kayu yang diwujudkan oleh kuasa imperial Anglo-Amerika untuk memastikan projek menawan semua telaga minyak di Timur Tengah. Mereka ini hanya 'aparacik' untuk menjayakan Projek Alaf Baru Amerika.

Iraq dilaporkan sebagai wilayah yang memiliki minyak terbanyak sesudah Arab Saudi. Ini diikuti oleh Iran dan Rusia. Iran dan Rusia bukan sekutu Amerika. Begitu juga Iraq ketika di bawah Saddam Hussein. Dari perancangan strategi Projek Alaf Baru Amerika ini seluruh Timur Tengah termasuk Iran, Turki, Afghanistan dan Pakistan wajib dimasukkan dalam bakul Anglo-Amerika. Justeru Perang Drones di Utara Pakistan, serangan gerila Sunni ke Timur Iran, Perang ' non stop ' di Afghanistan adalah sebahagian dari strategi ini.

Sebenarnya Perang Dunia Kedua yang berpunca dari perebutan telaga minyak hanya berhenti 'rehat' sebentar. Dunia hari ini masih lagi berperang. Di Yemen Perang Drones sedang berjalan. Boko Haram di Nigeria ialah perang perebutan telaga minyak. Perang juga sedang berjalan di Libya untuk merebut telaga minyak.

Kurdish dan Arab berperang di Iraq untuk merebut Kirkuk wilayah telaga minyak Iraq.

Bagaimana dengan ISIS? Bukankah ISIS ini berjuang untuk menegakkan Islam. Bukankah ISIS ini ingin mendirikan kembali sistem Khalifah Islam?

Akan bersambung.

Lihat Komen
ADS