PARLIMEN l Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor mencuit hati Dewan Rakyat hari ini apabila berseloroh dengan menyakat Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) agar tidak lagi mengulangi gelagatnya pada penggal Parlimen akan datang.

Gurauan itu dibuat selepas Sany mengakhiri perbahasannya dengan menyindir Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut), yang sebelum itu membangkitkan Peraturan Mesyuarat untuk mempertahankan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).

"Kadang petang-petang ini mengantuk, kena dia itu.

"Jadi, Yang Berhormat, cukuplah. Harap penggal depan tidak adalah macam ini," kata Ramli.

Mohd Sany Hamzan (PH- Hulu Langat)

Bagaimanapun, Sany segera membalas gurauan itu dengan memberi amaran secara berseloroh bahawa penduduk Hulu Langat mungkin tersinggung dengan kenyataan berkenaan.

"Pengerusi, jangan macam itu. Tak elok. Marah orang Hulu Langat nanti, Pengerusi.

"36(6) ini, Pengerusi. Ini sangkaan mencurigakan.

"Cakap siang pandang-pandang, Pengerusi," katanya, merujuk kepada Peraturan Mesyuarat yang antara lain melarang ahli Dewan membuat sangkaan jahat terhadap ahli lain.

Ramli kemudian menjelaskan bahawa dia sekadar bergurau bagi menceriakan suasana persidangan pada sebelah petang.

Ramli Mohd Nor, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat

"Yang Berhormat, kadang-kadang itu kena melawak juga.

"Kalau saya ini, kalau ikut hakikat boleh straight macam tunggul kayu. Tapi petang-petang ini saya pertimbangkan.

"Tadi elok cantik selepas ambil alih daripada Yang Berhormat Lanang. Elok ini, harap berjalan lancarlah.

"Tapi landing tadi kurang sihat sikitlah," katanya sebelum menamatkan sesi perbahasan peringkat jawatankuasa.

Sindiran selepas puji peruntukan Kelantan

Terdahulu, Ramli menegur Sany kerana menyindir Che Mohamad Zulkifly yang bangkit mempertahankan Takiyuddin selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) mempersoalkan penggunaan istilah "munafik" oleh Ahli Parlimen Kota Bharu itu.

Rayer mendakwa istilah berkenaan ditujukan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, namun Che Mohamad Zulkifly menegaskan Takiyuddin tidak menyebut nama Anwar.

Dalam perbahasannya, Sany turut membangkitkan beberapa projek pembangunan di Kelantan, termasuk cadangan sambungan ECRL ke Rantau Panjang, lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu dan peruntukan RM250 juta bagi terminal bas Kota Bharu.

Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut)

Dia secara berseloroh mengaku "cemburu" dengan perhatian kerajaan Persekutuan terhadap Kelantan, sebelum menyebut peningkatan peruntukan negeri itu sehingga RM2 bilion.

"Saya ingat Besut ini layak untuk bertanding naib presiden parti Islam semula, PAS," sindirnya.

Ramli beberapa kali meminta Sany menamatkan perbahasan, kemudian menegur cara wakil rakyat kerajaan itu mengakhiri ucapannya.

"Yang Berhormat Hulu Langat, saya tadi biarkan sebab saya tengok dia punya nada elok sahaja.

"Tiba penghujungnya, landing-nya kurang sihat sikitlah," katanya.

Sany bagaimanapun mempersalahkan gangguan daripada ahli Parlimen lain sambil mempertahankan adabnya.

"Kalau tidak, saya memang elok sahaja. Memang elok, akhlak adab memang elok, Pengerusi.

"Kita teman tapi mesra. Mesra tapi teman," katanya.