Gen Z atau ‘strawberi’: Berbaloikah percaturan PH di Kuala Linggi?
“Semalam kita meeting. Hari ini kita bawa ke PMX. Hari ini juga lulus. This is how Gen Z works.”
Itu antara petikan kata Mukhlisul Mubin Julasapiyah, calon termuda PRN Melaka yang membuatkan kisahnya ‘menerjah’ kementerian kewangan bagi menyuarakan masalah persatuan nelayan kawasannya menjadi tular baru-baru ini.
Menjadi taruhan PH dari Amanah di kerusi DUN Kuala Linggi, pemuda 24 tahun itu dilihat agresif.
Dia bertemu Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Kamil Munim, dan berjaya mendapatkan tandatangan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
“Kalau perlu sampai ke meja perdana menteri sekali pun saya sanggup redah demi Kuala Linggi,” katanya yang lebih dikenali sebagai Mukhlis Mubin.
Bagaimanapun, di sebalik pujian, tidak kurang juga kecaman diterimanya kerana menggunakan ‘kabel’ bagi menyelesaikan isu tunggakan cukai dan penalti sebanyak RM70,000 yang dikenakan ke atas Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat.
Juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2023 itu juga dikecam kerana terlibat menyampaikan bakul bantuan makanan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan selepas PH menamakannya sebagai calon DUN Kuala Linggi.
Mukhlis mencabar penyandang kerusi itu dari BN, Rosli Abdullah, dalam pertemuan tiga penjuru. Calon ketiga yang bersaing di kerusi itu ialah dari Bersama, Nur Farhana Hamzah.
/file/attachments/orphans/mokhlis_922093.jpeg)
Sepanjang sejarahnya, Kuala Linggi tidak pernah dimenangi calon parti selain BN.
Dalam PRN 2021, Rosli menang dengan majoriti 1,836 undi di kawasan yang 75 peratus pengundinya adalah Melayu itu.
Dia mendapat 3,554 undi diikuti Julasapiyah Kassim yang mewakili Amanah-PH (1,718), Aziah Mohd Sa'ad dari PAS (1,645) dan calon bebas, Kamisan Palil (51).
Menariknya Julasapiyah ialah bapa Mukhlis yang telah lima kali kalah — empat kali bersama PAS dan selebihnya bersama Amanah, serpihan PAS.
Walaupun penampilannya dipuji penyokong parti, tidak kurang juga yang memandang sinis terhadap tindakan PH dengan mendakwa membariskan calon daripada “generasi strawberi”.
Istilah itu mula digunakan di Taiwan sejak 1990-an bagi menggambarkan generasi yang manja dan tidak tahan tekanan, diumpakan seperti buah strawberi yang cantik tetapi mudah lebam.
Gelaran itu kini popular kembali bagi menggambarkan Gen Z yang lahir antara 1997 dan 2012 dan kini berumur antara 14 ke 29 tahun.
‘Tak nak silap jangan buat apa-apa’
Pengerusi PH Melaka Adly Zahari bagaimanapun mempertahankan pencalonan Mukhlis, pelajar undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baru beberapa bulan menamatkan pengajian itu.
Bagaimanapun Adly mengakui, ia pilihan sukar memandangkan Mukhlis bukan pemimpin Pemuda Amanah.
“Walaupun banyak orang beri kritikan, sama ada secara peribadi atau cara dia bekerja, tetapi bagi saya ramai orang kritik tentang ‘oh ini silap, ini silap’ dan sebagainya.
“Bagi saya kalau kita tak nak silap, kita jangan buat apa-apa,” katanya.
Adly, bekas ketua menteri berkata, tindakan Mukhlis itu secara tak langsung menepis gelaran negatif terhadap generasinya.
“Saya fikir Mukhlis tidak mewakili itu dan apa yang dia buat itu secara tak langsung menunjukan bahawa dia menafikan bahawa Gen Z ini adalah ‘generasi strawberi’.
“Mungkin lebih banyak dia buat (sesuatu), dia akan hadapi lebih banyak kesilapan. Tapi itulah Gen Z, memang kita kena suruh dia buat.
“Itu sebab kalau kita nak generasi kita berinovasi, tingkatkan R & D kita, kita akan ada seribu kali kesilapan, baru kita boleh berjaya,” katanya dalam temuramah bersama Malaysiakini, di Kuala Lumpur, minggu lalu.
Mukhlis bagaimanapun bukanlah calon paling muda dalam sejarah pilihan raya Malaysia. Farzana Hayani Mohd Nasir merupakan calon termuda dalam sejarah pilihan raya di Malaysia apabila dia bertanding pada usia 21 tahun ketika menjadi calon PH di DUN Sungai Rambai, Melaka pada PRN 2021.
/file/attachments/orphans/adlyzahari11adssd_976435.jpg)
Farzana Hayani memecahkan rekod yang sebelum itu dipegang bekas perdana menteri, Najib Razak, yang menyertai pilihan raya pertamanya – dan menang – ketika berusia 23 tahun pada 1979.
Berdasarkan data setakat PRU umum 2022, Kuala Linggi bagaimanapun bukan antara DUN terbanyak dengan undi generasi itu berbanding kawasan lain yang lebih 30 peratus daripada keseluruhan pengundi.
Misalnya di Paya Rumput ada 37.57 peratus, Sungai Udang (32.27 peratus), Tanjung Bidara (31.59 peratus) dan Durian Tunggal (31.37 peratus).
Kuala Linggi pula mempunyai hampir 4,000 (26.77 peratus) pengundi muda Gen Z berbanding 14,791 keseluruhan pengundi.
Sementara itu, Adly menegaskan Mukhlis mewakili Gen Z Malaysia yang mempunyai keupayaan untuk ditonjolkan sebagai pelapis kepimpinan.
“Apabila kita bagi dia peluang, dan saya memang minta supaya dia berikan tumpuan kepada rakyat, apa yang dia boleh buat, dia buat; terpulang kepada rakyat untuk memilih dia.
“Sebab itu saya hargai apa yang Perdana Menteri Anwar Ibrahim berikan dan juga Presiden Amanah (Mohamad Sabu) untuk calonkan dia sebagai calon generasi muda di Melaka.
“Saya fikir ini tentang masa depan kita dan akhirnya kita serahkan balik pada rakyat,” katanya.
Cenderung isu semasa, kritikal
Adly yang juga timbalan menteri pertahanan itu menambah, memang setiap parti akan cuba meyakinkan rakyat supaya menyokong mereka.
“Dan PH kita cubalah sedaya upaya apa yang ada, dengan cabaran politik, dengan gelombang-gelombang yang kononnya ada itu, saya fikir Melaka akan ada perubahan-perubahan itu.
“Sejauh mana rakyat Melaka mahu memberikan peluang, itu nanti kita tunggulah 14 Nov, insya-Allah,” katanya.
Berdasarkan keputusan PRN 2021, Mukhlis berdepan cabaran sukar untuk memenangi DUN Kuala Linggi khususnya apabila BN dan PN bekerjasama. Undi PH pula dijangka berpecah susulan penyertaan Bersama yang merupakan parti serpihan PKR.
Corak pengundian golongan pengundi muda pula biasanya ditentukan berdasarkan lokaliti, isu-isu membabitkan golongan belia seperti peluang pekerjaan, pendidikan dan kemudahan yang mesra kepada mereka.
Pengundi muda di kawasan bandar membabitkan pelbagai kaum lebih cenderung kepada isu-isu yang lebih kritikal seperti integriti dan tadbir urus yang baik.
Selain itu golongan terbabit juga tidak terasing daripada pengaruh kepartian atau sentimen yang berlegar di sekeliling mereka.
Contohnya pada PRU ke-15 lalu corak pengundi muda Melayu cenderung berpihak kepada PN yang mendominasi pengaruh di media sosial.
Kenapa nampak sangat kerusi bapak diberi pada anak??? Budaya warisan kah? Kalau ya pun, pemuda ini berbakat, letak la kat kerusi lain yang lebih ramai anak muda.
Lapor komen ini
/file/attachments/889/WatercolorRallySelfieinRed_338780.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.