HOT TOPICS
coming soon
|
|
|
|
|
Utama Berita Kolum Surat Video Voize Iklaneka Mobilekini Buku SMS Arkib Hartanah 388 CAMPAIGN
Jadikan Ijok Lunas kedua
Lee Ban Chen
Apr 25, 07
4:32pm
Selepas Machap, pengundi Ijok pula akan membuang undi pada 28 April 2007 untuk memilih wakil mereka dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, antara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim – bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Guthrie Bhd. – atau K Parthiban – setiausaha MIC Kuala Selangor.

Pilihanraya kecil Ijok amat dipandang berat oleh pihak-pihak terbabit kerana ia merupakan pilihanraya kecil terakhir menjelang pilihanraya umum ke-12. Bagaimanapun, kepentingan pilihanraya kecil Ijok juga tidak wajar diperbesar-besarkan secara keterlaluan dalam perkaitan yang salah.

Tidak dapat dinafikan kemenangan atau sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti calon Barisan Nasional (BN) amatlah perlu untuk menyemarakkan semangat juang pembangkang amnya dan PKR khasnya, kerana Ijok merupakan pilihanraya kecil kali kelima dan terakhir selepas pilihanraya umum 2004, dan BN telahpun membolot kesemua kerusi yang ditandingnya sebelum ini.

Secara perincian, calon PAS telah ditewaskan di DUN Kuala Berang dengan majoriti 2,059 undi pada 28 Ogos 2004. Calon PAS di DUN Pangkalan Pasir juga ditewaskan dengan majoriti 134 undi pada 6 Disember 2005. Pada 28 Januari 2007, calon bebas di DUN Batu Talam ditewaskan dengan majoriti 5,857 undi. PAS dan PKR telah memboikotnya. Pada 12 April 2007, calon DAP pula ditewaskan di DUN Machap dengan majoriti 4,081.

Dalam suasana yang lembap ini, adakah calon PKR yang mendapat sokongan DAP dan PAS, sanggup mengulangi sejarah Lunas pada tahun 2000 dengan menewaskan calon BN seperti ramalan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang?

Majoriti calon BN di DUN Ijok telah merosot dengan jumlah yang agak besar, iaitu daripada 6,797 undi pada 1995 (melawan calon DAP), turun kepada 3,166 pada 1999 (juga melawan calon DAP) dan turun lagi kepada 1,649 undi pada 2004 ( melawan calon Keadilan).

Bersikap realistik

Jika trend ini berterusan, maka bukan mustahil calon PKR boleh menang kali ini, sungguhpun ia memang amat sukar kerana terpaksa berdepan dengan segala taktik kotor dan salahlaku BN yang menggunakan seluruh jentera negara dan puluhan juta wang peruntukan kerajaan untuk menjamin kemenangan calonnya.

Di samping itu, diharapkan juga faktor Anwar Ibrahim dan imej heavyweight calon PKR dapat menarik sokongan baru daripada pengundi Ijok. Perlu juga bersikap realistik dan tidak memitoskan faktor Anwar dan imej heavyweight calon, seolah-olah ia mampu mengubah segala-galanya.

Misalnya, dalam pilihanraya kecil kawasan DUN Pangkalan Pasir dan kawasan DUN Machap baru-baru ini, kehadiran dan ceramah Anwar – sungguhpun mendapat sambutan yang amat baik sekali – tetapi masih tidak mampu mengubah nasib calon-calon pembangkang.

Justeru, di Ijok baru-baru ini, beliau telah berkali-kali meminta hadirin yang datang untuk mendengar ceramahnya supaya jangan lupa memilih calon pembangkang pada hari mengundi nanti, kerana tidak berguna sekadar menghadiri ceramah pembangkang dan bertepuk tangan saja!

Kempen pemimpin PKR, terutama Anwar selaku penasihat parti itu, telah dibidas oleh setengah pihak kerana tertumpu kepada isu-isu yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri Najib Tun Razak, seperti isu pembunuhan wanita Mongolia, isu pembelian jet Sukhoi Russia serta pembelian kapal selam dari Perancis.

Malah, ada yang menganggap pertandingan Ijok sebagai perang proksi antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Perdana Menteri Abdulah Ahmad Badawi. Entah kebetulan entah tidak, bila Najib dibelasah bertubi-tubi di Ijok, Dr Mahathir berkata beliau menjangkakan Abdullah berundur sebagai Perdana Menteri selepas sepenggal, seperti tujuan asal beliau dilantik, dan berlaku adil kepada Najib.

Teruskan perjuangan

Padanlah, dari awal-awal lagi, Perdana Menteri Abdullah telah menegaskan beliau bukan Perdana Menteri sepenggal, dan bila Najib dikaitkan dengan isu-isu yang amat sensitif dan mungkin membahayakan kerjaya politiknya, jika salah langkah, Abdullah hanya berpeluk tubuh dan membiarkan Najib sendiri menangkis serangan musuh demi mempertahankan dirinya.

Dalam kempen pilihan raya kecill Ijok, keberanian pemimpin PKR, khasnya Anwar Ibrahim dalam mendedahkan angkara buaya-buaya besar rasuah dalam Kerajaan Barisan Nasional, serta ketidaktelusan dan manipulasi pihak polis dalam siasatan kes-kes rasuah dan jenayah yang terbabit patut dialu-alukan.

Kempen yang dapat mencelikkan mata rakyat tempatan itu tidak wajar disifatkan sebagai serangan peribadi atau campurtangan dalam urusan polis atau mahkamah, kerana proses siasatan dan penghakiman telah dimanipulasi dan diperlekehkan!

Namun ini tidak bermakna isu-isu tempatan tidak penting, atau pertandingan antara Khalid dengan Parthiban patut diambilalih oleh pertarungan antara Anwar dengan Najib. Selain itu, relevan Anwar dalam politik tanahair juga tidak bergantung kepada keputusan suatu pilihanraya kecil.

Jika kalah di Ijok, ia bukan ‘hari kiamat’ bagi PKR dan kerjaya politik Anwar. Sekalipun menang di Ijok, perjuangan di depan masih berliku-liku dan penuh dengan duri dan ranjau! Pendek kata, Ijok hanya suatu pilihanraya kecil, menang atau kalah, perjuangan PKR dan Anwar perlu diteruskan dengan tabah hati seperti dijanjikan!


 
Untuk penguna Maxis, UMobile, Digi , dapatkan berita sms
Dapatkan Mobilekini untuk membaca cerita penuh di telephone bimbit
Singkatan berita setiap hari
Email:
Bersamalah 10000+ kawan di kumpulan Facebook Malaysiakini
Ikuti berita Malaysiakini menerusi Twitter
Diy Day Banner

Advertise here ( RM10/day )

Advertise here ( RM10/day )

Diy Day Banner