Penutupan sekolah kini hanya akan dilaksanakan di kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200, manakala aktiviti di luar bilik darjah digantung di lokaliti yang mencatatkan bacaan melebihi 100.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan perkara itu dalam hantaran di Facebook hari ini, dengan menyatakan bahawa ambang berkenaan selaras dengan peruntukan di bawah Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

Kemaskini itu dibuat selepas kementerian pada 8 Okt pada mulanya menurunkan ambang penutupan institusi pendidikan di bawah bidang kuasanya ketika keadaan jerebu yang semakin memburuk.

Berdasarkan garis panduan terdahulu, semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 180 atau melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut mesti ditutup bagi melindungi keselamatan dan kesihatan murid serta warga pendidikan.

Pengumuman Fadhlina ketika itu dibuat beberapa jam selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggesa agar kesihatan dan keselamatan murid diberi keutamaan apabila IPU berada antara 150 hingga 180.

Sama seperti kenyataan minggu lepas, hantaran media sosial Fadhlina hari ini juga tidak menyenaraikan sekolah atau kawasan yang terjejas oleh peraturan baharu itu.

Walau bagaimanapun, menteri berkenaan menegaskan dia memahami kebimbangan ibu bapa yang perlu menunggu keputusan mengenai operasi sekolah setiap hari ketika negara berdepan situasi jerebu.


Kementerian Pendidikan, tambahnya, memulakan penyelarasan prosedur operasi sekolah berpandukan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, dengan langkah itu bertujuan memastikan keputusan dibuat secara lebih tersusun berasaskan penilaian keadaan semasa.

Faktor penilaian, katanya merangkumi bacaan IPU dan nasihat kesihatan daripada Kementerian Kesihatan, berpandukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Kita perlu memahami bahawa bacaan IPU boleh berubah dalam tempoh yang singkat. Penutupan sekolah untuk beberapa hari lebih awal tanpa mengambil kira perubahan ini boleh menyebabkan anak-anak kehilangan masa pembelajaran walaupun kualiti udara telah kembali pulih.

“Pada masa yang sama, saya memahami kebimbangan ibu bapa terhadap kesihatan anak-anak, khususnya mereka yang mempunyai masalah kesihatan atau lebih sensitif terhadap pencemaran udara,” katanya.

Fadhlina turut mengulangi bahawa ibu bapa dibenarkan untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah jika bimbang tentang kesihatan dan keselamatan mereka sepanjang tempoh jerebu.


“Keselamatan dan kesihatan anak-anak tetap menjadi keutamaan kita. Namun, setiap hari persekolahan juga mempunyai nilai yang besar terhadap perkembangan dan pembelajaran mereka.

“Saya berharap penyelarasan ini dapat memberikan lebih kepastian kepada ibu bapa, mengurangkan kesulitan yang dihadapi dan memastikan setiap keputusan pengoperasian sekolah dibuat dengan mengambil kira kesihatan serta kelangsungan pendidikan anak-anak secara seimbang,” katanya lagi.