Isu takhta Negeri Sembilan: Raja-Raja Melayu gesa pihak luar hentikan campur tangan
Raja-raja Melayu menggesa semua pihak yang terlibat dalam pertikaian takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan supaya mencari penyelesaian secara bermaruah melalui saluran yang sah, sambil memberi amaran agar krisis itu tidak dipolitikkan.
Dalam kenyataan pertama mereka berhubung krisis itu, Raja-raja Melayu turut menyeru pihak luar supaya tidak mencampuri urusan berkenaan dan menegaskan bahawa penyelesaiannya perlu diserahkan kepada pihak berkepentingan serta berautoriti.
“Isu yang sedang dihadapi, jangan sama sekali dijadikan bahan politik, modal untuk meraih sokongan atau ruang untuk meningkatkan pengaruh atau medan untuk memenuhi agenda perebutan kuasa.
“Kenyataan-kenyataan yang bercanggah dan kurang bertanggungjawab hanya akan mengeruhkan keadaan, meningkatkan ketegangan, mengelirukan rakyat dan mencemarkan kemuliaan institusi diraja,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Syed Danial Syed Ahmad, hari ini.
/file/attachments/orphans/mrr1asdfdsf_512460.png)
Raja-Raja Melayu turut menyeru supaya sebarang perbezaan pendirian diselesaikan melalui saluran yang sah dan berwibawa, secara beradab dan beradat dalam semangat syura serta musyawarah berlandaskan undang-undang dan berpandukan peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Ruang perundingan perlu dimanfaatkan dengan penuh keikhlasan demi mencapai penyelesaian yang bermaruah tanpa merendah dan menghina mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.
Mereka turut mengingatkan bahawa takhta adalah amanah yang membawa tanggungjawab besar terhadap negeri dan rakyat.
Sehubungan dengan itu, semangat kekeluargaan, keharmonian masyarakat dan usaha memuliakan institusi diraja hendaklah sentiasa dipelihara sepanjang usaha mencari penyelesaian selain mengelakkan kenyataan yang boleh mengaibkan atau tindakan yang mengeruhkan keadaan.
Menurut kenyataan itu lagi, sebarang kenyataan atau tindakan tanpa memahami adat, sejarah dan kerangka perlembagaan negeri boleh mengeruhkan keadaan serta menjejaskan keharmonian masyarakat.
/file/attachments/orphans/mrr1_567473.png)
“Orang ramai turut diseru agar tidak menyebarkan khabar yang belum disahihkan serta tidak terpengaruh dengan naratif yang boleh memecah-belahkan masyarakat.
“Berikan ruang dan masa kepada pihak berautoriti untuk memenuhi tanggungjawab dan amanah mereka dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan,” menurut kenyataan itu.
Raja-Raja Melayu turut mendoakan supaya Allah SWT melimpahi semua pihak berkaitan dengan kebijaksanaan mengatasi emosi dan muafakat mengatasi perselisihan.
“Kepentingan negeri serta kesejahteraan rakyat hendaklah menjadi keutamaan semua pihak. Kepentingan Negeri Sembilan, keharmonian rakyat dan kemuliaan institusi diraja hendaklah didahulukan.
“Dalam keadaan seperti ini, sikap terbaik ialah memelihara adab, menghormati adat, menjaga tutur kata dan tidak mencampuri urusan yang bukan bidang kita,” menurut kenyataan itu.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/mrr12_950676.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.