Hari ini kita berada dalam minggu pertama bulan Ogos. Bahang sambutan kemerdekaan semakin terasa. Bangunan di Kuala Lumpur sudah mula mengibarkan Jalur Gemilang. Jika anda ronda-ronda di sekitar Kuala Lumpur pada malam hari, anda pasti akan terpegun melihat pelbagai kreativiti untuk memperlihatkan bendera negara.

Pergilah ke sekitar Bangunan Parlimen, anda pasti akan terpegun dengan cahaya membentuk Jalur Gemilang. Sungguh indah dan cantik. Begitu juga dengan Angkasapuri, Bangunan DBKL dan banyak lagi bangunan di Kuala Lumpur. Tak sempat pula untuk saya ke Putrajaya untuk melihat bagaimanakah bangunan kerajaan dihias sempena menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-50.

Beberapa hari lalu, saya sempat melalui Kampung Baru. Dalam perjalanan menuju Stadium Jalan Raja Muda sebelum ke lampu isyarat, saya nampak ada bangunan baru sedang dibangunkan. Di sebelah bangunan baru itu ada satu rumah Melayu lama yang menarik perhatian saya.

Rumah itu menjadi menarik kerana terletak di tengah-tengah dua bangunan yang tinggi. Kata seorang teman yang lebih senior daripada saya: "Tentu pemilik rumah itu sedih, kerana jiran-jirannya sudah tiada. Jiran-jiran dia sekarang ialah bangunan-bangunan tinggi yang sudah tentu tidak peramah seperti jiran-jirannya dahulu".

Saya sebenarnya melahirkan rasa hormat kepada pemilik rumah tersebut. Sudah pasti sebelum ini beliau pernah ditawarkan berjuta-juta RM agar menjualkan tanahnya. Tetapi oleh kerana pemilik rumah ini menghormati nilai sejarah, wang ringgit tidak mampu untuk mengugat pendiriannya.

Kampung Baru mempunyai nilai sejarah yang tinggi di Malaysia. Antara peristiwa besar yang pernah berlaku di sekitar kawasan Kampung Baru ialah tragedi berdarah 13 Mei 1969. Walaupun tragedi pahit ini perit untuk dikenang, rakyat seharusnya tahu dan belajar agar ianya tidak lagi berulang. Tidak salah rasanya jika dibangunkan satu muzium kecil mengenai tragedi 13 Mei. Bukan bertujuan untuk menghasut atau mengapi-apikan kemarahan sesiapa, tetapi mahu tak mahu ianya pernah berlaku dan telah menjadi sejarah negara ini.

Jika kita asyik menganggap peristiwa itu sensitif dan tidak boleh dibincangkan, sudah tentu masalah ini tidak akan dapat diselesaikan walaupun selepas 200 atau 300 tahun negara merdeka. Jangan dipolitikkan semua isu. Yang lebih penting, trauma tragedi ngeri itu harus dihilangkan daripada rakyat terutamanya generasi baru kita yang akan mewarisi negara ini pada masa hadapan.

Ucapan Raja Nazrin di Universiti Malaya baru-baru ini menarik perhatian saya. Kata beliau: "Walaupun sudah hampir menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-50, kita masih lagi tidak dapat menyelesaikan masalah perpaduan rakyat". Saya sokong seratus peratus kenyataan Raja Muda Perak ini. Mari kita lihat negara jiran kita Indonesia. Usia kemerdekaan kita dan Indonesia tidak benyak beza.

Bahasa pengantar

Indonesia merdeka pada 17 Ogos 1945 manakala kita mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Cuma 12 tahun bezanya. Indonesia, walaupun lebih mundur dari segi ekonomi berbanding dengan Malaysia, tetapi masalah perpaduannya sudah selesai. Di Indonesia walaupun mempunyai begitu banyak kaum dan suku, mereka semuanya bersatu sebagai bangsa Indonesia.

Bahasa Indonesia dijadikan pengantar untuk mereka berbicara. Begitu juga kaum Tionghua di Indonesia. Mereka tidak mempunyai masalah untuk menggunakan bahasa Indonesia. Begitulah hebatnya Presiden Soekarno. Kepulauan yang besar dapat disatukan dan rakyat Indonesia sehingga hari ini berbangga dengan jasa Bapa Kemerdekaan mereka.

Berbeza dengan di Malaysia. Sehingga hari ini masalah perpaduan masih lagi belum selesai. Saya mempunyai beberapa orang kawan Tionghua yang langsung tidak tahu menggunakan bahasa Malaysia. Saya tidak menyalahkan mereka. Sistem pendidikan di negara ini yang telah menjadikan mereka begitu. Tidak tahulah apa yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran di negara ini selama 50 tahun berkhidmat untuk rakyat Malaysia.

Orang-orang seperti Ong Tee Kiat, bekas Ketua Pemuda MCA boleh dikatakan satu dalam sejuta. Begitu juga dengan Lee Ban Chen yang juga merupakan penulis, kolumnis dan bekas tahanan ISA. Mereka menggunakan bahasa Malaysia dengan betul dan fasih tanpa meninggalkan bahasa Ibunda mereka. Kalaulah lahir ramai lagi orang seperti ini, sudah pasti Malaysia akan bersatu padu.

Kita tidak boleh menafikan bahawa bahasa menjadi penyatu bangsa. Anak-anak orang golongan menengah atas di negara kita tidak mempunyai masalah untuk bergaul, tidak kira Melayu, Cina atau India, kerana mereka berkongsi satu bahasa, iaitu bahasa Inggeris. Yang menjadi masalah ialah rakyat biasa. Mereka seringkali syak wasangka sesama sendiri kerana mereka tidak memahami budaya dan bahasa.

Di Malaysia, kita tidak dapat melihat semangat kebangsaan yang tinggi di kalangan rakyat. Walaupun sudah hampir menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-50, kita gagal untuk melahirkan bangsa Malaysia. Bayangkanlah untuk memastikan semua bangunan mengibarkan Jalur Gemilang, Dato' Seri Rais Yatim sebagai Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan terpaksa mengugut untuk menyiarkan gambar bangunan yang tidak mengibarkan bendera Malaysia dan kementeriannya akan memberikan bendera percuma kepada sesiapa yang tidak mempu untuk membelinya.

Sampai begitu sekali terpaksa dilakukan. Barulah kita dapat melihat Jalur Gemilang dikibarkan. Mengapa ini terjadi? Saya tidak mempunyai jawapan, tetapi mempunyai andaian. Pertama, sejak dari awal lagi, Malaysia telah melakukan banyak kesilapan. Kesilapan yang paling besar sekali ialah mengamalkan politik perkauman.

Pecah dan perintah

Parti-parti politik yang berasaskan kaum digalakkan oleh penjajah British kerana ia juga mengamalkan dasar pecah dan perintah dan berjaya menjajah negara ini dengan begitu lama. Sebab itulah perasaan cintakan negara gagal disemai kerana parti-parti politik ini menyemaikan lagi perasaan perkauman. Dengan itu, maka mudahlah untuk mereka menyatukan ahli parti masing-masing.

Di Indonesia, kita tidak pernah medengar tentang wujudnya parti politik berasaskan bangsa. Yang kita dengar semua parti politik berasaskan ideologi seperti Parti Nasionalis Indonesia, Parti Demokratik ataupun parti yang berideologikan Islam. Ini semua kerana sejak awal lagi Soekarno telah menggagaskan bahawa semua rakyat adalah bangsa Indonesia.

Bila lagi kita nak menyelesaikan masalah ini? Nak tunggu 100 tahun usia kemerdekaan negara? Langkah pertama yang boleh dilakukan oleh kerajaan Malaysia, jika mahu menyelesaikan masalah ini, ialah untuk mengiktiraf pejuang kemerdekaan negara tanpa mengira fahaman dan parti politik yang mereka anuti.

Penghormatan yang tinggi harus diberikan kepada mereka yang telah bekorban untuk memastikan tanah ini bebas dari penjajahan. Walaupun Umno dan Perikatan (sekarang Barisan Nasional (BN) yang akhirnya mendapat nama setelah berjaya berunding dengan British untuk kemerdekaan negara, tokoh-tokoh yang menyemai semangat untuk menuntut kemerdekaan tidak harus dilupakan.

Masih belum lagi telambat untuk memperbaiki masalah perpaduan negara. Yang penting ialah keikhlasan. Barulah semangat patriotik di kalangan rakyat akan dapat disemai. Penggunaan Bahasa Kebangsaan harus digalakkan secara menyeluruh. Apa yang dilakukan sekarang bagus, tetapi masih belum lagi mencukupi.

Apa ertinya Jalur Gemilang berkibar jika nilai sejarah tidak dihormati? Apa gunanya setiap rumah mengibarkan bendera jika masih ada rakyat yang tidak boleh berbahasa Kebangsaan? Apa ertinya negara akan menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-50 jika rakyat yang berbilang bangsa masih lagi syak wasangka sesama sendiri.

Ini adalah masalah pokok yang harus diselesaikan. Jika tidak sambutan ulangtahun kemerdekaan yang ke-50 tidak mempunyai apa-apa erti dan tiada bezanya dengan perayaan-perayaan lain yang dirayakan di negara ini.