Dipecat tanpa pembelaan, Inspektor Sheila heret Ayob Khan, kerajaan ke mahkamah
Bekas pegawai polis Sheila Sharon Steven Kumar, atau lebih dikenali sebagai “Inspektor Sheila” memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bulan lalu, bagi mencabar pemecatannya daripada pasukan polis.
Saman itu difailkan melalui Tetuan M Manoharan & Co pada 29 Okt dengan menamakan bekas timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay, lembaga tatatertib PDRM serta suruhanjayanya, dan kerajaan sebagai defendan.
Dokumen mahkamah yang dilihat Malaysiakini menunjukkan dia dipecat pada 3 Ogos melalui dua pucuk surat bertarikh 7 Julai, yang mendakwa dia bersalah atas empat dan 19 pertuduhan tatatertib masing-masing.
/file/attachments/orphans/FormerDeputyInspector-GeneralofPoliceTanSriAyobKhanMydinPitchay3009261_193599.png)
Surat-surat tersebut serta surat pemecatannya ditandatangani oleh Ayob.
Bagaimanapun, Sheila dalam pemfailan saman itu mendakwa dia tidak mempunyai pengetahuan mengenai empat pertuduhan tersebut, dan dia mengemukakan representasi bagi menjawab 19 pertuduhan berkenaan pada 2024.
“Saya tidak pernah menerima atau diserahkan sebarang surat tunjuk sebab atau notis tindakan tatatertib (berhubung empat pertuduhan tatatertib itu) sebelum menerima surat pada 3 Ogos tahun ini.
“Akibatnya, saya tidak pernah dimaklumkan mengenai dakwaan khusus tersebut (dan) kekal tidak pasti sehingga ke hari ini berhubung pertuduhan spesifik yang dituduh dan dikatakan bersalah,” katanya dalam afidavit sokongan.
Tambahnya, dia juga dinafikan peluang untuk menyediakan jawapan atau pembelaan khusus, serta memohon pendengaran secara bersemuka atau mendapatkan dokumen berkaitan bagi menjawab empat dakwaan itu.
“Jelas sekali, saya tidak dapat membela diri terhadap pertuduhan yang tidak pernah dimaklumkan kepada saya.
“Saya dinasihati oleh peguam saya, dan saya sesungguhnya percaya bahawa tindakan tersebut adalah terbatal dan menyalahi undang-undang.
“Keputusan responden adalah tidak teratur dari segi prosedur, tidak munasabah, tidak wajar, dan pada asasnya tidak adil kepada saya.”
Kontroversi lampau
Sheila mula menarik perhatian ramai pada Jun 2023 selepas beberapa rakaman video yang memaparkan dia bertengkar dengan beberapa individu, termasuk orang awam, tular di media sosial.
Dia kemudiannya didakwa atas pertuduhan mengaibkan kehormatan dua lelaki, termasuk seorang koperal polis, serta melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita berusia 69 tahun.
Dia mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan tersebut.
Pada November tahun yang sama, dia sekali lagi didakwa berhubung kejadian mengugat ketenteraman awam di sebuah pusat membeli-belah di Brickfields, yang menyaksikan dia didakwa menjerit ke arah seorang wanita serta membunyikan hon keretanya berulang kali.
Dia kembali mencuri tumpuan pada November 2025 selepas sebuah video memaparkannya a bersemuka dengan beberapa anggota polis di tepi jalan. Namun, peguamnya mendakwa bahawa dia bertindak campur tangan selepas menyaksikan anggota polis berkenaan cuba memeras ugut wang berjumlah RM200 daripada seorang warga Pakistan.
Tidak dipertimbangkan
Mengulas mengenai 19 pertuduhan tatatertib yang berasingan, Sheila mendakwa dia dimaklumkan mengenai dakwaan itu melalui surat pada 3 April 2024, yang dijawabnya dengan mengemukakan representasi kepada pihak berkuasa pada 23 April, dan diterima oleh Pejabat Pendaftaran Siasatan Jenayah Komersial pada 24 April tahun yang sama.
Dia mendakwa menafikan setiap pertuduhan secara berasingan dan memohon dokumen khusus berkaitan dakwaan tersebut serta pendengaran lisan secara bersemuka supaya dia dapat menjelaskan kedudukannya dengan tepat terhadap pertuduhan itu.
Dia mendakwa 19 tuduhan salah laku tatatertib itu dikatakan berlaku antara 2017 dan 2019 dalam surat tunjuk sebab berkenaan, dan dia tidak pernah dimaklumkan mengenai sebarang salah laku sebelum ini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/06/8c72c433dff3444cdde9ae6930c844fa.jpg)
“Saya amat terkejut apabila menerima notis hukuman tatatertib, yang menyatakan bahawa responden pertama dan kedua tidak menerima representasi saya, walaupun pejabat tersebut sebenarnya menerimanya pada 24 April 2024.
“Saya mengambil langkah seperti yang diarahkan oleh pihak berkuasa (dalam menjawab dakwaan tersebut).
“Namun, keputusan untuk memecat saya daripada perkhidmatan dibuat kemudiannya tanpa mengambil kira representasi saya.”
Dia menambah bahawa surat tunjuk sebab yang diterimanya berhubung 19 pertuduhan itu tidak menyatakan dengan jelas bentuk salah laku tersebut, menyebabkan dia terpaksa meneka dakwaan sebenar yang dibuat terhadapnya dalam representasi yang dikemukakan.
Dia seterusnya menegaskan bahawa pemecatannya daripada pasukan polis memberi kesan serius kepadanya kerana dia kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.
“Saya kini berdepan kesan terhadap reputasi profesional dan prospek pekerjaan masa depan saya.
“Tambahan pula, saya tidak pernah dipanggil, mahupun diberi peluang untuk menyoal balas mana-mana saksi, dan tidak juga dibenarkan membentangkan kes saya menggunakan dokumen, jika ada, yang digunakan semasa siasatan terhadap saya.
“Ini (pemecatan) berlaku walaupun saya menafikan pertuduhan tersebut dan memohon peluang yang adil untuk pendengaran lisan.”
Tuntutan
Sheila, yang berkhidmat dalam pasukan polis sejak 2016, memohon perisytiharan mahkamah bahawa keputusan responden untuk memecatnya adalah batal, tidak sah dan menyalahi undang-undang.
Dia juga memohon perintah mahkamah, termasuk certiorari untuk membatalkan keputusan itu, serta perintah mandamus yang mengarahkan responden mengembalikannya ke jawatan sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor tanpa sebarang penurunan pangkat.
Dia turut mahu mahkamah mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan responden memberikannya semua faedah dan kelayakan yang pernah diterimanya sebagai penjawat awam dan pegawai polis, yang digantung atau dipecat oleh responden.
Dia juga memohon perintah mandamus mahkamah untuk mengarahkan responden membayar semua tunggakan gaji, emolumen, elaun, bonus, dan faedah kewangan lain yang terakru dari tarikh pemecatan sehingga dia dikembalikan ke jawatan atau menyambung semula perkhidmatan.
Selain itu, dia menuntut ganti rugi am, teruk, teladan, kos, serta faedah lima peratus setahun ke atas ganti rugi dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Terdahulu hari ini, hakim Indra Nehru membenarkan permohonan kebenaran Sheila untuk meneruskan samannya terhadap defendan, selepas peguamnya M Manoharan memaklumkan kepada mahkamah bahawa terdapat merit dalam samannya yang memerlukan penelitian lanjut pada pendengaran semakan kehakiman substantif.
Peguamnya juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa responden, yang diwakili peguam kanan persekutuan Solehudin Zaki, tidak membantah permohonan kebenarannya.
Mahkamah belum menetapkan tarikh lanjut bagi sebarang prosiding setakat ini.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/5164030e78ab4628ad84c2678e121aeb.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.