Most Read
Most Commented
Read more like this

Bagi masyarakat Iban di Sarawak perkataan ' keling ' sudah tentunya mempunyai maksud yang tersendiri.

'Keling' ialah nama seorang pahlawan dan menurut legenda masyarakat Iban beliau tinggal di rumah panjang Panggau Libau Lendat Dibiau Takang Isang dan isteri beliau bernama 'Kumang' adalah dari rumah panjang Gelong Batu Nakong Nyingit Nyingong Nyimbang Nyerabang .

Dalam bukunya yang bertajuk Keling of the Raised World (terbitan Fajar Bakti, 1991), Jimmy Donald menyatakan bahawa Keling mempunyai personaliti idaman setiap lelaki dalam masyarakat Iban.

Beliau adalah seorang yang gagah, berani, dan juga mempunyai wajah yang cantik ( Keling was so wise, brave, strong, fearless and handsome ). Selain dari itu beliau juga dipercayai mempunyai kuasa ghaib ( tau ajih ) seperti boleh menghilangkan diri daripada penglihatan musuh serta mampu bertukar wajah serta memegang watak yang berbeza.

Sikap Keling yang utama ialah berani. Seseorang pahlawan Iban yang dikatakan mendapat `pertolongan' daripada beliau sudah tentunya sukar untuk ditewaskan oleh musuh mereka.

Menurut masyarakat Iban seseorang yang berjaya berjumpa dengan Keling atau Kumang dalam mimpi mereka sudah pasti akan menjadikan seseorang itu berani dan menjadi pahlawan ( Raja Berani ).

Dalam bukunya, Tiga Belas Bengkah Mimpi (Tiga Belas Jenis Mimpi) (terbitan Borneo Literature Bureau, 1966), Benedict Sandin menceritakan bagaimana beberapa pahlawan Iban seperti Dana bensumbar Bayang , Orang Kaya Pemanca Nanang dan Unggang Lebor Menua, menjadi pahlawan dan amat digeruni kerana dipercayai mendapat `bantuan' daripada Keling dan Kumang.

Cerita kepahlawan dan keberanian Keling juga berbagai dan sentiasa diceritakan ( ensera ) kepada anak-anak kecil orang Iban yang tinggal di rumah panjang. Misalnya orang-orang tua akan bercerita tentang kehebatan Keling dan bagaimana beliau menjadi seorang pahlawan yang sukar untuk ditewaskan oleh musuh.

Misalnya dalam buku Keling Nyumpit ( Keling Menyumpit ) (terbitan Borneo Literature Bureau, 1967) oleh Geogre Janang, menceritakan bagaimana Keling dan seorang lagi teman beliau bernama Laja berjaya melepaskan isteri mereka, Kumang dan Lulong (isteri Laja ) daripada tawanan musuh mereka, Apai Sabit Bekait.

Kedua-dua Kumang dan Lulong ditawan oleh Apai Sabit Bekait semasa mereka mencari ikan (mansai) di sebatang sungai. Setelah ditahan Apai Sabit Bekait menyimpan mereka di dalam sangkar besi.

Bagi orang Iban, nama Keling ini sememangnya dihormati dan mempunyai kaitan yang rapat dengan adat resam dan tradisi mereka. Mungkin pada hari ini Keling dan Kumang boleh dikatakan sebagai role models dalam masyarakat Iban.

Sebagai mengingati legenda Keling dan Kumang masyarakat Iban di Sarawak mengadakan pertandingan Keling Gawai bagi lelaki dan Kumang Gawai bagi wanita untuk memilih mereka yang menawan dan cantik.

Upacara ini diadakan pada tiap-tiap tahun besemperna Gawai Dayak di Sarawak. Tambahan pula aktiviti Keling dan Kumang Gawai telah menjadi sebahagian daripada aktiviti pelancongan negeri Sarawak.

Dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia sudah tentunya sesuatu perkataan yang sama ejaan dan bunyi boleh jadi mempunyai erti yang berbeza. Namun demikian bagi masyarakat Iban di Sarawak, perkataan Keling adalah nama seseorang pahlawanan yang berani, mulia dan personaliti yang ingin dicontohi oleh setiap orang Iban di Sarawak.

Mungkin penggunaan perkataan 'Keling' boleh dikhaskan untuk merujuk kepada legenda masyarakat Iban di Sarawak sahaja.

ADS