Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Kita menarik nafas lega ketika mendengar usul perwakilan Umno Bahagian Alor Star yang mendesak supaya menteri wanita beragama Islam memakai tudung. Hal ini amat baik jika ia dijadikan budaya serta amalan berterusan. Semoga ia dapat diterapkan dalam Puteri Umno juga sehingga menjadi darah daging dalam parti.

Pemakaian tudung amat menepati semangat dan roh slogan keramat, 'Kepimpinan Melalui Teladan'. Dalam hal ini, kepemimpinan wanita Melayu beragama Islam mestilah juga menonjolkan sikap terpuji supaya dapat menjadi contoh teladan kepada wanita muda dan rakyat bawahan yang sentiasa memantau corak dan gaya kepimpinan mereka.

Pada tahun 1927, melalui watak Zamrud, Ahmad Kotot mula mengkritik corak pemakaian wanita Melayu yang dipengaruhi tempias angin perubahan Barat. Sesudah itu, dalam era 50-an, penyanyi seperti Azmi muncul dengan lagu 'Nona Malaysia' yang turut mengambil peranan yang sama seperti Ahmad Kotot. R Azmi bernyanyi "tudung pelangi sudah tidak dipakai lagi oleh wanita Melayu".

Oleh itu, kita ucapkan tahniah kepada Umno bahagian itu kerana pucuk dan akar kepimpinannya masih segar lagi dalam memperjuangkan masalah eksploitasi wanita yang tidak pernah luput dibahaskan orang ramai. Mereka meletakkan satu syor yang amat tepat apabila menghubungkait pemakaian tudung dengan eksploitasi wanita.

Mungkin ia sukar dilaksanakan, tapi mereka harus memakainya secara istiqamah dalam program-program rasmi, semasa bekerja atau ketika berurusan di tengah khalayak. Kita mengharapkan agar hal ini dibincangkan lagi untuk memebentuk garis panduannya.

Misalnya, apakah perbuatan tidak memakai tudung bagi wanita Umno khususnya menteri dan pimpinan tertinggi parti boleh ditakrifkan sebagai salahlaku dalam parti? Itupun, jika ada semangat dan kesungguhan yang tinggi untuk berdebat mengenainya.

Seterusnya mungkin juga kita boleh apungkan pertanyaan, apakah kesalahan tidak memakai tudung ini boleh dihadapkan kepada Lembaga Disiplin Umno untuk dikenakan tindakan tatatertib sepertimana halnya dengan isu rasuah dan politik wang dalam Umno?


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS