Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cermin surau pecah, polis nafi berkait isu nama Allah
Diterbitkan:  Jan 9, 2010 11:56 PM
Dikemaskini: Jan 10, 2010 1:00 AM

Cermin pintu sebuah surau di Taman Menara Maju, Kampung Jawa, Klang dekat Shah Alam didapati pecah kira-kira pukul 6 pagi ini setelah dibaling dengan batu.

    

Selain cermin pintu itu yang pecah, terdapat tompokan air yang dibuang ke dalam surau berusia 13 tahun itu.

    

Ketua Polis Daerah Klang ACP Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu tetapi menyangkal insiden itu ada kaitan dengan isu pembakaran gereja di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, semalam.

Mohamad juga berkata tompokan air itu bukan air kencing seperti yang didakwa dan berkata siasatan lanjut untuk mengenal pastinya sedang dijalankan.

    

"Saksi kejadian iaitu seorang penduduk tempatan yang hendak ke surau untuk menunaikan solat Subuh memberitahu polis yang dia nampak seorang suspek lelaki lari ke satu lorong kira-kira 200 meter dari surau itu dalam keadaan tidak memakai baju.

"Siasatan awal mendapati terdapat beberapa tin minuman keras di lorong tersebut dan kita percaya kejadian berlaku disebabkan lelaki itu mabuk," katanya lagi.

    

Mohamad berkata siasatan awal polis juga mengesyaki kejadian itu tidak dilakukan oleh orang luar berdasarkan batu-bata yang digunakan untuk memecahkan pintu cermin itu sama dengan batu yang terdapat di kawasan surau berkenaan.

    

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak mengaitkan insiden itu dengan kejadian pembakaran gereja dan berharap masyarakat supaya bertenang.

"Polis sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi balai polis berhampiran," katanya.

    

- Bernama

ADS