Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menggesa Ketua Pemuda MCA Ling Tian Soon dan Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh menghentikan pertelingkahan berhubung cadangan mengembalikan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Zahid menyifatkan pertelingkahan antara kedua-dua pemimpin parti komponen BN itu sebagai salah faham yang perlu diselesaikan secara kekeluargaan.

"Kita semua adik beradik berpeluklah, kalau boleh cium mulutlah, kita tahu itu salah faham.

"Saya respect Pemuda MCA, saya respect Pemuda UMNO," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MCA di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Zahid, isu itu tidak seharusnya menjadi polemik di media sosial.

Semalam, Pemuda MCA mencadangkan kerajaan mengembalikan pilihan raya PBT bermula di Wilayah Persekutuan.

Menurut Tian Soon, cadangan itu antara lapan resolusi yang dikemukakan pada Perhimpunan Agung Pemuda MCA 2026.

Akmal membantah cadangan itu dengan menegaskan pendirian Pemuda MCA tidak mewakili Pemuda BN mahupun Pemuda Umno.

"Saya juga ingin mencadangkan kepada MCA agar selepas ini MCA dah boleh bertanding di kawasan bandar sahaja dan kawasan yang majoriti Melayu boleh diserahkan kepada parti komponen yang lain," kata Akmal dalam satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan Jeremy Ang menggesa Pemuda MCA mengecam kenyataan Akmal berhubung isu itu.

Menurutnya, kenyataan Akmal mengetepikan keperluan penyertaan politik golongan pertengahan Melayu di bandar serta pengundi pelbagai kaum.

"Justeru, saya menggesa Pemuda MCA supaya mengecam dengan tegas kenyataan Akmal yang bukan sahaja mengabaikan realiti masyarakat bandar yang berbilang kaum, malah secara tidak langsung memperkecil keupayaan masyarakatnya sendiri untuk bersaing.

"Saya juga menyeru Pemuda MCA supaya menolak secara jelas sebarang aturan pembahagian kerusi berasaskan kaum, kekal teguh menyokong usaha mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan bermula di Wilayah Persekutuan," katanya dalam kenyataan hari ini.