Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kumpulan NGO pro-ISA akan melancarkan kempen balas terhadap Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang mahukan akta tersebut dimansuhkan dan bukan dipinda.

Menggelarkan kempen itu sebagai “GMI, sabar dulu”, Gabungan NGO Pembela Negara (Magaran) - gabungan lebih 50 NGO yang pro-ISA - akan memulakan kempen mereka Isnin ini, bersempena dengan permulaan sidang parlimen sesi baru.

Bagaimanapun, berbeza dengan GMI yang mahu turun padang menyampai mesej penentangan mereka, kumpulan lawan mereka hanya memilih alam maya, iaitu kempen melalui laman sosial Facebook .

btn forum 241209 mohd khairul azam abdul aziz “Dulu tidak ada Facebook . Sekarang sudah ada, kita gunakanlah. Kita buka kepada semua orang (untuk menyatakan sokongan kepada ISA),” kata penasihat undang-undangnya Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Magaran merancang usaha tersebut sebagai kempen balas kepada kempen ”Bukan Pinda Tapi Mansuh ISA!” anjuran GMI - yang melibatkan pelbagai program penerangan, seperti forum dan pengedaran risalah.

Gesaan GMI itu dibuatkan memandangkan kerajaan dijangka membentangkan cadangan pindaan akta tersebut dalam sesi parlimen akan datang yang akan bermula Isnin ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Mohd Khairul Azam menyifatkan usaha terbaru GMI itu sebagai “gopoh” dan seolah-olah “tidak tetap pandangan” dalam menangani isu tersebut.

“Suatu ketika mereka kata OK (ISA) jika ikut syarat-syarat mereka, contohnya tentang isu penahanan sementara 60 hari. Kini suruh mansuh. Ini tidak konsisten.

“Mereka marah kepada apa sebenarnya? Pada ISA sendiri atau elemen-elemen dalam akta itu?” katanya.

Ditanya tentang pendirian NGO tersebut berhubung cadangan pindaaan terhadap akta itu, Mohd Kharul Azam berkata, tindakan kerajaan itu selari dengan pandangan dan tuntutan mereka mereka.

“Walaupun kami menentang beberapa pengalaman dalam ISA tetapi tidaklah sehingga menafikan kepentingan ISA. ISA tetap perlu ada. Kami bukan hendak bakar jambatan, kami hendak ubah suai jambatan,” katanya.

NONE Magaran sebelum ini pernah mencadangkan beberapa pindaan, melalui memorandumnya kepada Yang Di-pertuan Agong, antaranya isu kuasa menteri yang didakwa terlalu besar dalam ISA dan tempoh penahanan sementara 60 hari.

Selepas ditubuhkan menjelang perhimpunan besar anti-ISA di ibu negara pada 1 Ogos lalu, Magaran daripada awal  dilihat cuba bertembung dengan GMI apabila menganjurkan demonstrasi pro-ISA pada hari, tarikh dan tempat yang sama.

Gabungan longgar pelbagai NGO itu, antaranya disertai Majlis Permuafakatan Ummah (PERWARIS), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM).

ADS