Adun Kota Kemuning, Preakas Sampunathan hari ini menyekolahkan Ketua Pemuda Umno, Muhamad Akmal Saleh berhubung kenyataannya yang membandingkan kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dengan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Dalam satu kenyataan, katanya pemimpin politik perlu membuat kajian dan memahami fakta undang-undang terlebih dahulu sebelum membuat sindiran awam demi meraih perhatian politik.

DAP rep Preakas Sampunathan 130924


Preakas berkata, tindakan menyamakan dua keputusan mahkamah berlainan hanya mengelirukan rakyat dan menunjukkan kegagalan memahami perbezaan asas undang-undang.

"Lain kali hendak menyindir, buat kerja rumah dahulu. Jangan terlalu ghairah mencari modal politik sehingga perbezaan asas antara dua keputusan mahkamah pun diketepikan.

"Lim dilepas dan dibebaskan. Zahid dilepas tanpa dibebaskan. Perkataan 'tanpa' itu ada makna, Akmal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Akmal menerusi satu hantaran di media sosial membidas Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer kerana didakwa enggunakan neraca berbeza dalam menilai isu pendakwaan, susulan keputusan menarik balik pertuduhan terhadap Lim pada 2018.


Dia mempersoalkan sama ada Rayer yang juga seorang peguam akan turut mendesak Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengarahkan peguam negara supaya membuka semula pendakwaan terhadap penasihat DAP itu, sebagaimana desakan supaya kes membabitkan presiden Umno dibicarakan semula.

Akmal turut membangkitkan persoalan sama ada prinsip keadilan yang diperjuangkan DAP, khususnya Rayer hanya terpakai kepada pihak tertentu, sedangkan kes yang membabitkan pihak lain wajar diberikan layanan berbeza.

Mengulas lanjut, Preakas seorang lulusan sarjana dalam undang-undang menjelaskan bahawa dalam kes banglo Lim pada tahun 2018, pertuduhan ditarik balik sebelum berakhirnya kes pendakwaan, apabila Mahkamah Tinggi memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan dia selepas mendengar keterangan saksi.

Sebaliknya, dalam kes 47 pertuduhan Yayasan Akalbudi melibatkan Zahid, mahkamah mendapati wujud kes prima facie dan memerintahkan presiden Umno itu membela diri sebelum diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) yang membolehkan dia didakwa semula.

Barisan Nasional and UMNO president Ahmad Zahid Hamidi and DAP Adviser Lim Guan Eng 140926

"Penemuan prima facie bukan sabitan bersalah, tetapi DNAA juga bukan pembebasan. “Membezakan dua keputusan mahkamah yang berlainan bukan menggunakan dua neraca," katanya.

Menurut Preakas, Akmal berhak mengkritik Rayer, namun hujah yang dibawa ke ruang awam mestilah berpaksikan fakta dan bukannya sekadar sindiran.

"Kelantangan suara tidak boleh menggantikan ketepatan fakta. Baca dan fahami keputusan mahkamah dahulu, barulah buka gelanggang," katanya.

Rayer semasa berucap di Dewan Rakyat Isnin lalu, membidas kerajaan pimpinan Anwar kerana didakwa “memilih bulu” dalam kes rasuah, sambil mempersoalkan mengapa timbalannya Ahmad Zahid belum dituduh semula berhubung kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi.

Katanya, kerajaan tidak sepatutnya memberikan pelepasan kepada sesiapa sahaja dalam kes rasuah, tanpa mengira sama ada mereka adalah rakan sekutu atau pesaing politik.

RSN Rayer during Parliament session 12102026

Dia berkata perkara ini amat penting memandangkan ikrar kerajaan untuk membanteras rasuah.

“Kenapa kita pilih kasih, kenapa kita pilih bulu. Kenapa kita tidak mengambil tindakan terhadap YB Bagan Datuk yang terlibat dalam 47 kes rasuah?” soal wakil rakyat Jelutong itu.