Undang Yang Empat termasuk tiga yang dipertikaikan dan Tunku Besar Tampin mentafsirkan gesaan Majlis Raja-Raja bagi penyelesaian bermaruah terhadap krisis istana Negeri Sembilan sebagai menyebelahi mereka dalam usaha menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir daripada takhta.

Dalam satu kenyataan malam semalam, mereka mentafsirkan gesaan raja-raja Melayu agar perkara itu diselesaikan mengikut perlembagaan Negeri Sembilan dan melalui saluran yang berautoriti serta sah sebagai berpihak kepada mereka.

"Dalam pentadbiran negeri, pihak berautoriti itu ialah menteri besar dan majlis mesyuarat kerajaan negeri yang dipengerusikan oleh beliau.

"Maka, kami selaku Undang Yang Empat bersabda bahawa setiausaha kerajaan negeri dan penasihat undang-undang negeri menurut arahan menteri besar," kata mereka.

Undang yang menderhaka itu berkata ini bermakna setiausaha kerajaan negeri dan penasihat undang-undang tidak boleh melengah-lengahkan pelaksanaan keputusan kerajaan negeri pada 15 Sept — yang mengesahkan tindakan mereka mengikut Perkara 10 perlembagaan negeri untuk menurunkan taktha Tuanku Muhriz.

"Kepatuhan sedemikian ialah cara menjunjung titah seruan (Raja-raja Melayu) agar urusan ini diselesaikan melalui saluran sah, tertib dan berwibawa," kata mereka.

Mereka turut mentafsirkan teguran Raja-raja Melayu agar pihak luar tidak campur tangan sebagai ditujukan kepada kerajaan Persekutuan dan agensinya.

Jabatan Peguam Negara sebelum ini mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan kesahan perintah menurunkan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertua Negeri Sembilan.

Tuanku Muhriz Tuanku Munawir , Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan


Sementara itu, undang yang diperikaian itu berkata mereka juga bersedia untuk berunding dengan Tuanku Muhriz bagi memudah cara proses turun takhta secara teratur.

"Kami menyambut baik sebarang ruang perundingan dengan Tuanku Muhriz berkenaan urusan penurunan takhta secara baik, dalam semangat kekeluargaan dan tanpa merendah atau menghina mana-mana pihak," kata mereka.

Undang yang menderhaka berkenaan cuba memecat Tuanku Muhriz sejak April lalu atas dakwaan melanggar undang-undang adat.

Kumpulan yang diketuai undang Sungai Ujong yang dipertikaikan, Mubarak Thahak, turut berdepan isu keabsahan berikutan tindakan untuk menggulingkan mereka.

Dalam perkembangan terkini mengenai perkara itu, sekretariat lembaga adat luak Jelebu mempertikaikan istiadat penzahiran baharu yang diperkenankan oleh Tuanku Muhriz.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) Ke-273 di Istana Negara

Sinar Harian memetik lembaga adat sebagai berkata semalam bahawa mereka tidak terlibat dalam pelantikan undang baharu, dan sehubungan itu ia tidak sah serta tidak mengikut protokol yang betul.

Susulan itu, Dato'-Dato' Lembaga Adat Luak Jelebu itu membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Di bawah undang-undang adat Negeri Sembilan, pelantikan undang dibuat oleh institusi suku masing-masing di setiap luak.

Sebelum ini media melaporkan, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menzahirkan Azrin yang merupakan pengurus kanan sebuah syarikat telekomunikasi sebagai Undang Luak Jelebu ke-17.