Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Demonstrasi desak halau duta M'sia
Diterbitkan:  Aug 26, 2010 5:00 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

Duta besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan didesak supaya meninggalkan negara itu oleh sekumpulan peserta demonstrasi di Indonesia hari ini.

NONE Duta besar diberi tempoh selama tiga hari untuk meninggalkan negara itu oleh para peserta demonstrasi berkenaan, lapor laman web akhbar Tempo .

Demonstrasi di depan pejabat kedutaan Malaysia di Kuningan, Jakarta hari ini antara lainnya disertai Forum Kebangsaan Indonesia dan Gerakan Pemuda Forum Betawi Rempug.

Tiga persatuan mahasiswa - Perhimpunan Mahasiswa Katolik Indonesia, Gerakan Mahasiswa Nasional Indonesia, dan Liga Mahasiswa Nasional turut menyertai perhimpunan itu, lapor laman itu lagi.

Laman tersebut memetik beberapa orang pemimpin NGO yang berucap dalam demonstrasi berkenaan mengenai "harga diri bangsa Indonesia yang telah direndahkan oleh Malaysia."

Peserta demonstrasi itu juga bertindak membakar satu bendera Malaysia "sebagai simbol perlawanan," dan turut membaling buluh ke arah anggota keselamatan.

NONE Dalam pada itu, kumpulan berkenaan berjumlah "beratus-ratus orang" itu juga cuba memasuki pejabat kedutaan namun dihalang oleh "puluhan" anggota keselamatan dilengkapi meriam air, lapor laman berita internet Detikcom .

Demonstrasi hari ini merupakan tindakan kelima seumpamanya yang dilancarkan NGO negara tersebut sejak minggu ini, berikutan satu insiden melibatkan bahagian penguatkuasa marin Malaysia dan Indonesia.

Dalam insiden di perairan Malaysia-Indonesia pada 13 Ogos lalu, bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan menahan tujuh nelayan Malaysia manakala Polis Marin Malaysia pula bertindak menahan tiga pegawai pengkuatkuasa kementerian dari Indonesia itu.

Kesemua tahanan tersebut bagaimanapun dibebaskan oleh kedua-dua negara pada 17 Ogos lalu.

NONE Berang dengan kejadian itu, sebuah NGO dikenali dengan nama Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) bertindak mengadakan satu demonstrasi pada Isnin lalu di depan kedutaan Malaysia dan mendakwa negara ini telah merendahkan maruah Indonesia dalam insiden tersebut.

BENDERA turut mengancam untuk mengancam untuk mengusir rakyat Malaysia dalam operasi dinamakam " Sweeping Rakyat Malaysia" - dirancang akan dilakukan di hadapan bangunan kumpulan itu di Jalan Diponegoro, Menteng, di Jakarta.

ADS