Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mustaffa janji laksana 'polisi rakyat'
Diterbitkan:  Oct 21, 2010 7:41 PM
Dikemaskini: 11:44 AM

Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub berjanji akan melaksanakan 'polisi rakyat' dalam parti bagi mengangkat semula suara akar umbi dan golongan reformis sebagai suara utama.

"Rakyat dan golongan refomis lah yang mencetuskan penubuhan serta mengangkat parti kita sekuat ini," kata calon timbalan presiden PKR itu.

NONE "Atas keyakinan bahawa suara-suara ini terpenting untuk menggerakkan parti dan seluruh rakyat ke Putrajaya, saya berasa wajib untuk saya memastikan suara-suara ini

akan digemakan semula," tulis Mustaffa dalam blognya semalam.

Dalam tulisan yang bertajuk "Manifesto kita...", Mustaffa berkata, beliau juga akan "memastikan janji Pakatan Rakyat memberi hak autonomi kepada Sabah dan Sarawak dilaksanakan".

"Saya akan memastikan kelangsungan politik nilai dalam parti seperti sederhana, toleransi, mesra, setiakawan, berhemah dan berintegriti supaya pemimpin dididik menjadi 'khadam' rakyat, serta sama-sama tolak politik elitis dan politik wang dalam parti," tambahnya.

Mustaffa yang juga ketua PKR Perak menjelaskan beberapa misinya bagi merebut jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti yang bermula hujung bulan ini.

Beliau bakal berdepan dengan seorang lagi naib presiden, Azmin Ali dan penyelaras Pakatan, Datuk Zaid Ibrahim dalam perebutan jawatan timbalan presiden.

Ibu pejabat parti akan mengeluarkan keputusan rasmi mengenai pencalonan bagi semua jawatan yang dipertandingkan dalam pemilihan kali ini pada 24 Oktober ini.

Manakala Kongres Nasional Tahunan dijadual berlangsung pada 26 hingga 28 November depan.

ADS