Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno Kedah akan akur jika diminta tukar kerusi
Diterbitkan:  Oct 24, 2011 11:57 AM
Dikemaskini: 4:00 AM

Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah tiada masalah untuk membuat pertukaran kerusi dengan parti komponen BN yang lain jika ia merupakan sesuatu yang dipersetujui BN pusat.

Pengerusinya Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata beliau akan mematuhi sebarang arahan pucuk pimpinan BN berhubung perkara itu.

Semalam Presiden MIC Datuk G Palanivel dilapor sebagai berkata bahawa MIC berhasrat membuat pertukaran satu daripada kerusi yang diperuntukkan kepadanya di Selangor dengan kerusi di Kedah atau Pulau Pinang.

Ahmad Bashah berkata bagaimanapun tindakan Presiden MIC itu dirasakan masih terlalu awal kerana tarikh pilihan raya sebenar belum diketahui.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian bantuan dan duit raya Deepavali kepada lebih 300 warga emas dan kanak-kanak masyarakat India di Dewan MCA di Padang Serai malam tadi.

Majlis itu adalah anjuran Penyelaras BN Dewan Undangan Negeri Lunas S Ananthan dengan kerjasama Penyelaras BN Parlimen Padang Serai Datuk Chin Tung Leung sempena perayaan Deepavali Rabu ini.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Mukhriz  Mahathir berpendapat perkara pertukaran kerusi itu adalah terlalu awal untuk difikirkan.

Apa yang lebih penting sekarang ialah mencari jalan menguatkan lagi pengaruh BN pada semua kalangan pengundi pelbagai kaum di negara ini, katanya kepada Bernama selepas merasmikan Program Rumah Terbuka Pemuda MIC Padang Serai, Padang Taman Kucai, Lunas petang semalam.

Lebih 800 anggota MIC dan masyarakat tempatan hadir pada majlis itu. Mukhriz turut menyumbangkan lebih 500 bungkusan hamper berupa barangan keperluan untuk masyarakat India tempatan sempena sambutan Deepavali.

- Bernama

ADS