Polis tahan semula Yazid Sufaat

Polis hari ini menahan semula seorang bekas tahanan ISA, Yazid Sufaat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) kerana disyaki "mempromosi kegiatan keganasan".

Peguam, Fadiah Nadwa Fikri ketika dihubungi Malaysiakini berkata, alasan penahanan itu diberitahu seorang pegawai polis yang terlibat dalam operasi penahanan Yazid di bangunan kompleks mahkamah Jalan Duta hari ini.

NONEFadiah berkata, beliau secara kebetulan berada di situ ketika kira-kira 15 orang anggota polis bertindak menahan Yazid, yang mengusahakan satu gerai makanan di kafeteria tersebut.

Turut ditahan dalam operasi pada kira-kira jam 12.30, tersebut ialah seorang pekerja Yazid, Muhammad Hilmi Hasim, yang berusia lingkungan 30-an, kata Fadiah.

Kedua-dua mereka merupakan individu pertama yang dikenakan tindakan mengikut akta baru tersebut.

Peruntukan berkenaan memberi kuasa kepada polis untuk menahan kedua-dua individu tersebut selama 48 jam tanpa bantuan guaman.

Dalam satu kenyataan segera petang ini, NGO hak asasi Suaram mengutuk tindakan penahanan berkenaan dan menuntut agar kedua-duanya didakwa di mahkamah dalam tempoh 24 jam.

Hak ini juga dijamin dalam Perlembagaan dan Kanun Acara Jenayah yang mewajibkan pihak Polis membawa orang yang tertuduh ke mahkamah dalam tempoh 24 jam selepas ditahan untuk mendapat pembelaan, kenyataan itu dipetik. 

Polis dalam kenyataan Mac tahun lalu menyebut, semua tahanan akta ISA sama ada yang baru atau lama sentiasa terus dipantau pihak polis, termasuk Yazid Sufaat yang sebelum ini dikaitkan dengan kumpulan militan antarabangsa al-Qaeda.

Yazid – yang pernah digelar "salah seorang pengganas paling berbahaya di Asia" –  dalam wawancara dengan Malaysiakini sebelum ini antara lainnya berpendapat, militan sebenarnya melakukan kerja "pemasaran" apabila jumlah yang memeluk Islam semakin ramai.

Pakar biokimia itu juga mengakui pernah bertemu dengan pemimpin utama al-Qaeda Osama bin Laden ketika berada di Afghanistan, antara tahun 2000 higga 2001 dan menganggapnya sebagai satu penghormatan.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.