Burung, babi hutan jejaskan latihan pesawat TUDM

Kehadiran burung antara gangguan utama kepada sesi  latihan pesawat Sukhoi-SU30 MKM di lapangan terbang Tentera Udara Diraja
Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Gong Kedak/Bukit Puteri (PUGK/BP) di Besut sejak akhir-akhir ini.
    
Komandan PUGK/BP, Kolonel Asghar Khan Goriman Khan berkata latihan turut diganggu babi hutan yang kerap masuk ke landasan ketika pesawat hendak berlepas dan kehadiran dua haiwan itu menyebabkan pesawat mengalami kerosakan dan menelan belanja besar untuk dibaiki.
    
Katanya antara burung yang sering mengganggu latihan ialah layang-layang, bangau, helang dan punai.
    
"Di masa yang lain pula ketika pesawat hendak berlepas terdapat babi-babi hutan melintas landasan yang kadangkala mencemaskan juruterbang pesawat yang hendak menjalani latihan", katanya.
    
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan Ops Pembersihan Haiwan Pemusnah Tanaman bersama anggota Relawan Rakyat Malaysia (RELA), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) di sekitar kawasan PUGK/BP hari ini.

Katanya, bagi mengatasi gangguan burung, pihaknya telah beberapa kali mengadakan perjumpaan dengan penduduk sekitar supaya memastikan mereka tidak membina rumah burung layang-layang dalam lingkungan 15 kilometer dari ruang udara latihan pesawat tetapi ada yang mengingkarinya.
    
Beliau berkata setiap kerosakan disebabkan burung termasuk dalam enjin pesawat menyebabkan TUDM terpaksa berbelanja besar hingga mencecah jutaan ringgit bagi membaiki kerosakan.

Keadaan itu juga boleh membahayakan juruterbang yang menjalani latihan, katanya dan sehubungan itu beliau meminta kerjasama penduduk untuk tidak membina rumah burung layang-layang dalam kawasan lingkungan 15km itu.
    
Katanya ops pembersihan haiwan pemusnah tanaman yang diadakan itu adalah antara langkah bagi memusnahkan babi hutan dan burung yang berkeliaran di sekitar kawasan landasan terbang PUGK/BP.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.