Bekas wakil rakyat DAP Tony Pua mengakui dirinya "bosan". Bukan kerana dia tidak lagi menjadi anggota parlimen ataupun mempunyai lebih banyak masa terluang, tetapi kerana dia seolah-olah menjadi sasaran utama Umno dengan pemimpin parti itu bergilir-gilir menyerangnya.

Untuk berlaku adil, Pua bukanlah seorang pengecut yang cuba melarikan diri apabila diserang. Dia sering tampil ke barisan hadapan dan tidak gentar dengan serangan yang bertali arus.

Tony Pua, bekas ahli parlimen DAP

Untuk berlaku adil, Pua bukanlah seorang pengecut yang cuba melarikan diri apabila diserang. Dia sering tampil ke barisan hadapan dan tidak gentar dengan serangan yang bertali arus.

Serangan terbaharu itu tercetus selepas dia memuat naik di media sosial apa yang didakwanya sebagai minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang kini dinyahklasifikasikan berhubung permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk menjalani tahanan rumah.

Isu tahanan rumah Najib menjadi satu lagi polemik politik yang hangat.

Bagi penyokongnya, perkara itu adalah soal keadilan dan sama ada dia dinafikan apa yang mereka percaya sebagai titah diraja. Bagi pengkritiknya pula, sebarang langkah untuk membenarkan dia menjalani baki hukumannya di rumah berisiko dilihat sebagai layanan istimewa kepada pemimpin yang disabitkan kesalahan rasuah.

Sementara itu, Pua mendakwa setiap kali nama Najib yang "amat disayangi" Umno—dan dilabelkannya sebagai "penjenayah / penyamun nombor satu Malaysia"—timbul dalam perbincangan, pemimpin parti Melayu itu seolah-olah hilang akal dan menyerang secara melulu.

“Kata orang putih, don't shoot the messenger,” dalam hantaran di Facebook.

Bagi mengelakkan sebarang keraguan, Pua menegaskan bahawa dia tidak bertanggungjawab menyahklasifikasikan minit berkenaan mahupun terlibat dalam perbincangan atau keputusan lembaga tersebut.

“Ni cacing-cacing kepanasan Umno, saya tak berapa faham. Bila sentuh saja kes pasal Najib Razak yang amat mereka sayangi, semua habis hilang akal.

“(Apa) Yang saya buat? Hanya rujuk kepada minit mesyuarat yang telah sah dinyahklasifikasikan, dan membentangkan fakta-fakta yang ternyata dalam minit tersebut.

“Pemimpin Umno ni, macam semua otak tak berapa center, hanya fasih Tony Pua biadap, atau semua salah DAP. Boring,” tambahnya.

Semalam, Pua memuat naik beberapa keping gambar di Facebook yang didakwa memaparkan petikan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 18 Sept lalu. Dia menekankan bahawa Yang di-Pertuan Agong memperkenankan tahanan rumah kepada Najib walaupun terdapat bantahan daripada kerajaan.

Anggota parlimen BN kemudiannya segera menuntut kerajaan menjelaskan sama ada minit berkenaan benar-benar dinyahklasifikasikan.

Anggota Parlimen Jempol Shamsulkahar Deli bertindak lebih jauh dengan menggesa Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara mengesahkan ketulenan dokumen itu serta menjelaskan statusnya dalam tempoh 24 jam.

Dia juga menggesa ketua setiausaha negara menjalankan audit keselamatan serta siasatan dalaman segera bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab atas dakwaan kebocoran tersebut, selain meminta polis menyiasat individu yang menyebarkan dokumen berkenaan.

Antara yang menyasarkan Pua ialah Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail yang menyifatkan pendedahan itu sebagai tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong.

Dia menegaskan bahawa kuasa memberi pengampunan adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Wan Rosdy, institusi Raja-Raja Melayu tidak wajar diperlakukan sedemikian rupa, apatah lagi diheret ke dalam kancah polemik politik.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Penerangan Azalina Othman Said turut menyertai barisan pemimpin yang mengkritik Pua berhubung penyebaran dokumen tersebut.