Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis rekod kenyataan Tian Chua sekali lagi
Diterbitkan:  Mar 13, 2013 5:33 PM
Dikemaskini: 11:56 PM

Polis Johor hari ini merekod kenyataan naib presiden PKR Tian Chua sekali lagi berhubung kenyatannya yang didakwa menyebut bahawa pencerobohan kumpulan militan di Lahad Datu, Sabah, sebagai sandiwara Umno.

Laporan Bernama hari ini menyebut, ketua polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata polis merekod kenyataan berkenaan di ibu pejabat polis petaling jaya pagi ini.

"Kita telah menghantar pegawai kita untuk merakam percakapan Tian Chua. Beliau datang bersama tiga peguamnya untuk merakam percakapan tersebut pagi ini," katanya seperti dipetik dalam laporan itu.

Laporan organ PKR Keadilan Daily pula hari ini menyebut, siasatan berkenaan menumpukan kepada kenyataan Tian yang dilaporkan laman itu pada 1 Mac lalu.

"Berita itu dimanipulasi pihak berkepentingan sehingga turut mengheret Editor, Fazallah Pit; Sub Editor, Norasikin Samsi dan wartawan, Aisha Geoffrey, disiasat polis," laporan itu dipetik.

Polis mula menyiasat Tian pada hari Isnin lalu dan wartawan berkenaan sejak hari sebelumnya .

Laporan dalam Keadilan Daily itu antara lainnya menyebut, kejadian di Lahad Datu "dipercayai konspirasi terancang kerajaan Umno untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat".

Tian, yang kini menerima serangan hebat dari kelompok Umno, pada 7 Mac lalu menjelaskan bahawa beliau hanya bertanggungjawab ke atas petikan langsung dalam laporan berkenaan

Tian menjelaskan, beliau berbuat demikian ekoran tindakan penulis blog pro-BN yang menyebarkan nombor telefon dan menghasut penyokong parti itu untuk menghantar mesej ancaman kepadanya.

Isu yang timbul ekoran kenyataan Tian itu juga menjadi alasan oleh kumpulan penyokong BN untuk menyerang ibu pejabat PKR di Petaling Jaya dengan melempar kayu dan telur dalam satu kejadian pada petang Isnin lalu.

Insiden ganas seperti itu juga dilaporkan berlaku di satu ceramah anjuran PAS yang sepatutnya dihadiri Tian pada malam tadi di Jempol, Negeri Sembilan.

Pemimpin PAS kawasan itu berkata ada di kalangan penyokong mereka cedera akibat tindakan kumpulan yang melempar mercun, botol, batu dan telur.

ADS