Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mukhriz: Tiada lagi isu sabotaj dalam Umno Kedah
Diterbitkan:  Mar 17, 2013 1:31 PM
Dikemaskini: Mar 18, 2013 12:07 AM

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yakin isu sabotaj tidak lagi menjadi masalah Umno Kedah dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Jentera Umno Kedah juga kini bersedia sepenuhnya dan kini menunggu perdana menteri untuk mengumumkan pembubaran parlimen, katanya seperti dipetik dalam laporan Mingguan Malaysia.

"Kepemimpinan di semua peringkat negeri ini sudah bertekad untuk memenangkan BN dan saya ingat masalah itu (sabotaj) tidak akan timbul lagi," kata Mukhriz seperti dipetik akhbar milik Umno itu.

Isu sabotaj berkenaan mula dikesan sejak Mei tahun lalu apabila pengerusi Umno negeri, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah menolak spekulasi bahawa timbalannya itu akan menjadi menteri besar Kedah.

Katanya, spekulasi itu hanya ditimbulkan pihak luar untuk memecah-belahkan Umno negeri.

Beberapa bulan selepas itu, timbul pula hasil tinjauan Universiti Utara Malaysia yang menyebut bahawa anak kepada bekas perdana menteri itu merupakan pilihan ramai sebagai bakal calon menteri besar Kedah.

Kajian berkenaan membandingkan peluang Mukhriz dan tiga lagi pemimpin Umno Kedah – ketua perhubungannya Ahmad Bashah, ketua penerangan Datuk Seri Mohd Jamil Khir Baharom dan ketua pembangkang DUN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ahmad Bashah kemudiannya pada September tahun lalu mengalah apabila berkata beliau tidak akan terkilan sekiranya tidak dipilih semula sebagai calon pilihan raya.

Beliau yang mewakili DUN Bakar Bata selama empat penggal berkata, beliau menyatakan demikian dengan "ikhlas".

"Yang penting kita jangan khianati parti dan pucuk pimpinan," katanya.

Isu sabotaj itu turut mendapat perhatian Mahathir yang berkata anggota  perlu memberi sokongan kepada calon yang bertanding atas nama Umno dan tiket BN.

"Jangan terlalu cepat menolak mana-mana calon yang diputuskan bertanding," ujarnya dalam satu majlis bersama pemimpin Umno Kedah itu pada Disember tahun lalu.

Mahathir ketika mengulas mengenai isu perebutan jawatan menteri besar berkenaan beberapa hari lalu berkata, soal berkenaan tidak akan menjejaskan BN kerana anggota parti tersebut menurutnya sudah diberi peringatan.

"Ada pula orang tanya berkaitan anak saya (Mukhriz) adakah dia calon MB. Saya kata biarlah dia bertanding dulu, DUN atau Parlimen, tidak mengapalah," katanya.

Bercakap dalam satu lagi pertemuan dengan warga Kedah semalam, Mahathir membayangkan bahawa BN Kedah mampu menawan 11 daripada 15 kerusi Parlimen serta kembali mentadbir negeri itu.

Menurutnya, kemenangan di negeri itu akan membantu BN mengembalikan majoriti dua pertiga tanpa  bergantung kepada kubu kuat BN iaitu Sabah dan Sarawak.

"Dulu kita pernah menang 14 daripada 15 kerusi parlimen di Kedah. Entah macam mana, kita hilan 11 kerusi pada 2008.

"Kita masih ada upaya merampas kerusi itu semula. Jika Sabah dan Sarawak hilang beberapa kerusi kita masih boleh bantu," katanya seperti dilaporkan Berita Minggu.

ADS